KUALA LUMPUR, 28 JUN – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan teguran keras terhadap budaya penggunaan media sosial dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disifatkan sebagai berisiko tinggi terhadap keselamatan negara.
Baginda bertitah, tindakan memuat naik maklumat berkaitan pergerakan tentera, lokasi, organisasi mahupun penempatan pasukan ke dalam ruang awam secara tidak bertanggungjawab mesti dihentikan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kompromi keselamatan dan operasi.
“Janganlah memuat naik semua perkara termasuk maklumat, perhubungan, organisasi, penempatan pasukan, lokasi, gerakan dan lain-lain maklumat sensitif mengenai Angkatan Tentera Malaysia,
“Gunakan akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum. Apalah lebih baik, agar kita tidak menyesal kelak di kemudian hari,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja ATM 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, pagi tadi.
Baginda turut menjadikan konflik bersenjata di Asia Barat sebagai peringatan tentang bagaimana teknologi awam dan aplikasi pintar boleh menjadi sumber risikan ketenteraan oleh pihak musuh.
“Perperangan ini juga melihatkan bagaimana Iran dan Israel dengan mudah menggunakan maklumat yang diperolehi dari syarikat-syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk melakukan serangan,” tambah baginda merujuk kepada dimensi baharu ancaman keselamatan negara yang berpaksikan maklumat terbuka.
Dalam majlis yang turut menyaksikan pentauliahan rasmi kepada 509 Pegawai Kadet ATM tahun 2025, Seri Paduka turut mengingatkan kepimpinan tertinggi tentera untuk mengutamakan prinsip amanah dan profesionalisme, tanpa tunduk kepada pengaruh luar mahupun tekanan politik.
Malah, titah baginda, tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang menggunakan kedudukan dalam ATM untuk kepentingan peribadi.
“Kerajaan hendaklah menentukan tidak ada campur tangan politik ataupun pengaruh dari syarikat pembekal dalam semua proses perolehan peralatan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia,
“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, saya tidak akan bagi muka kepada sesiapa juga yang menggunakan kedudukan untuk kesenangan peribadi,” tegas Seri Paduka.
Istiadat pentauliahan tahun ini menyaksikan seramai 295 pegawai muda Tentera Darat, 114 pegawai muda Tentera Laut Diraja Malaysia dan 100 pegawai muda Tentera Udara Diraja Malaysia ditauliahkan secara rasmi. Majlis turut disusuli dengan penyampaian Anugerah Pegawai Kadet Terbaik serta bacaan Ikrar Taat Setia oleh pegawai muda yang baru ditauliahkan.
Hadir sama dalam istiadat tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan serta Panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Titah tegas Seri Paduka dalam majlis ini dilihat sebagai mesej langsung kepada seluruh ekosistem pertahanan negara, bahawa ketelusan, integriti dan keselamatan maklumat mesti menjadi tonggak utama dalam mendepani cabaran keselamatan moden. – airtimes.my
#Agong #pertahanan #ATM #AirTimes






