Home DiskusiMenuju era ‘singularity’: Apakah erti menjadi manusia dalam zaman AI?

Menuju era ‘singularity’: Apakah erti menjadi manusia dalam zaman AI?

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Beberapa tahun lalu, idea bahawa kecerdasan buatan (AI) akan melangkaui keupayaan manusia hanya dianggap sebagai fiksyen sains. Namun menurut Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, dunia kini telah pun mula melangkah ke fasa itu tanpa disedari.

“Kita telah pun melepasi titik di mana AI mula mengatasi manusia dalam banyak domain,” katanya dalam catatan blog bertajuk The Gentle Singularity yang diterbitkan pada Jun 2025.

Altman menegaskan, singularity bukanlah detik dramatik seperti yang sering digambarkan dalam filem. Ia bukan tentang robot yang mengambil alih dunia secara fizikal, sebaliknya satu titik perubahan senyap apabila keupayaan AI berkembang melampaui batas penciptanya.

Dari pembantu digital ke pemikir saintifik

Mengulas lanjut, realiti kini menunjukkan, AI bukan sekadar setanding, malah telah melepasi manusia dalam pelbagai bidang teras.

Perkembangan ini tidak berlaku secara drastik. Sebaliknya, kebergantungan manusia terhadap aplikasi pintar yang mampu membuat keputusan kompleks, menjana pengetahuan baharu dan beroperasi tanpa pemantauan manusia secara langsung, menjadikannya berhasil berkembang dalam masa singkat.

Dalam dunia digital hari ini, kehadiran AI sudah menjadi kebiasaan. Model-model terkini OpenAI termasuk GPT-4 dan versi lanjutan yang kini dalam pembangunan telah menunjukkan prestasi luar biasa.

ChatGPT, misalnya, bukan sahaja dapat menulis kod dalam pelbagai bahasa pengaturcaraan, menyelesaikan masalah matematik tambahan dan menghasilkan esei akademik lengkap, malah berupaya membina hipotesis saintifik berdasarkan corak data yang terlalu rumit untuk difahami oleh manusia.

Perkara ini menjadikan AI bukan sekadar alat bantu, tetapi sudah mulai memainkan peranan sebagai entiti pemikir. Sedikit demi sedikit, ia bergerak ke arah autonomi sepenuhnya. Fasa inilah yang dikaitkan dengan singularity, dimana perkembangan AI tidak lagi dapat diramal atau dikawal oleh penciptanya.

Apa yang membimbangkan ialah, masyarakat umum mungkin tidak menyedari bahawa era menuju ke singularity telah pun bermula.

Kecerdasan buatan (AI) kini bukan sekadar setanding, malah telah melepasi manusia dalam pelbagai bidang teras. (Foto Hiasan)

Ledakan kecerdasan dan tenaga

Sementara itu, Altman menegaskan dunia kini sedang menuju kepada “kebanjiran kecerdasan dan tenaga”, di mana kemampuan untuk menghasilkan idea dan melaksanakannya berlaku pada skala yang melampaui apa yang pernah dicapai oleh tamadun manusia.

Dengan keupayaan sedemikian, penciptaan idea, pemprosesan maklumat dan pelaksanaan tindakan berlaku dalam skala yang sebelum ini mustahil. Ini bukan kerana kekangan manusia semata-mata, namun disumbang oleh AI yang mampu bekerja tanpa henti.

Ini bermakna, manusia tidak lagi menjadi sumber utama kepada kemajuan. Dunia yang selama ini dikawal oleh had biologi dan ekonomi, kini menyaksikan kelimpahan dalam bentuk pemikiran, penyelesaian dan pelaksanaan yang berterusan.

Namun kelimpahan ini bukan tanpa risiko. Apabila sistem menjadi terlalu cekap, ia berpotensi bertindak dengan cara yang tidak difahami sepenuhnya oleh penciptanya. Tanpa penyesuaian nilai bersama, AI yang digerakkan oleh objektif teknikal mungkin melaksanakan matlamat yang tidak sejajar dengan moral kemanusiaan.

Justeru isu alignment, iaitu keselarasan antara sistem AI dan nilai manusia, menjadi keprihatinan utama. Jika tidak ditangani, AI boleh membuat keputusan berskala besar melibatkan politik, ekonomi, keselamatan dan bahkan peperangan, tanpa asas etika yang dikongsi bersama manusia.

AI: Kuasa baharu dalam persaingan global

Dalam landskap antarabangsa, negara yang menguasai model AI paling canggih kini mendahului persaingan global. Jurang antara negara yang memiliki teknologi dan yang tidak akan terus melebar, bukan sahaja dari segi inovasi, namun juga kedudukan geopolitik.

Kebergantungan kepada AI juga memberi kesan pada tahap individu. Ketika AI mengambil alih tugas-tugas kognitif, keupayaan manusia untuk berfikir secara kritikal, menilai maklumat dan membuat keputusan berasaskan nilai mungkin terhakis.

Jika benar kenyataan Altman, maka dunia kini sedang berada dalam era menuju singularity, iaitu titik perubahan besar dalam sejarah manusia. Seperti revolusi industri yang membentuk semula ekonomi dan struktur sosial abad ke-19, revolusi AI membawa implikasi yang jauh lebih mendalam memandangkan ia mengubah cara kita mengenal diri dan peranan kita sebagai manusia.

Apabila manusia tidak lagi menjadi pelaku utama dalam proses pengetahuan, maka persoalan besar yang timbul ialah apakah erti menjadi manusia dalam zaman kecerdasan buatan?

Mungkin jawapannya belum tersedia. Namun arah perjalanannya semakin jelas bahawa nilai kemanusiaan perlu dirumus dan dipertahankan semula, sebelum kita benar-benar kehilangan kawalan ke atas masa depan yang sedang dicipta oleh tangan dan minda kecerdasan buatan. -airtimes.my

#Diskusi #AI #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply