Home DiskusiDari Tehran ke Tel Aviv: Sejjil, peluru berpandu strategik Iran

Dari Tehran ke Tel Aviv: Sejjil, peluru berpandu strategik Iran

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dalam landskap ketenteraan moden yang dipenuhi dengan ancaman baru, Iran terus mempamerkan kekuatan misil balistiknya.Antara senjata yang menjadi perhatian dunia ialah peluru berpandu Sejjil, satu sistem yang melambangkan kemampuan strategik dan dibangunkan menerusi keupayaan teknologi tempatan Iran.

Sejjil merupakan peluru berpandu balistik jarak sederhana (MRBM) dan dikenali dengan keupayaan jarak jangkauannya yang mencecah 2,000 hingga 2,500 kilometer, cukup untuk mencapai Israel dan  sebahagian Eropah Timur serta pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat  (AS) di Timur Tengah.

Namun, apa yang menjadikan Sejjil benar-benar berbahaya bukan sekadar jangkauannya, tetapi penggunaan bahan api pepejal yang mempercepatkan proses pelancaran. Berbeza dengan misil bahan api cecair seperti Shahab-3 yang memerlukan masa persiapan lebih lama, Sejjil mampu dilancarkan dengan pantas tanpa perlu prosedur pengisian bahan api yang rumit.

Diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2008, peluru berpandu dua peringkat ini dikatakan mampu membawa hulu ledak seberat lebih 500 kilogram. Sejjil juga dipercayai mempunyai sistem navigasi yang lebih stabil serta mampu beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca  yang memberi kelebihan dalam sebarang konflik  peperangan.

Selain itu, Iran mendakwa bahawa Sejjil dibangunkan sepenuhnya dengan teknologi domestik tanpa bantuan luar, satu kenyataan yang memberi mesej politik dan ketenteraan yang jelas kepada musuh-musuhnya. Bagi Tehran, Sejjil adalah simbol “kemerdekaan pertahanan” dan keupayaan berdikari dalam menghadapi tekanan serta sekatan antarabangsa.

Peluru berpandu Sejjil, misil hypersonik Iran

Kehadiran Sejjil dalam inventori Iran juga memperkukuh aspek deterrence  iaitu strategi untuk mencegah serangan melalui ancaman balasan. Dengan keupayaan untuk menjangkau wilayah musuh dalam masa singkat, Iran boleh memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan ke atasnya bakal menerima tindak balas yang pantas dan menyakitkan.

Persoalannya, adakah kemunculan Sejjil sebagai senjata strategik benar-benar satu bentuk perlindungan, atau sebenarnya mencetuskan perlumbaan senjata baharu di rantau Asia Barat?

AS dan sekutunya khususnya Israel dan Arab Saudi, melihat perkembangan ini sebagai ancaman serius terhadap kestabilan serantau. Malah, beberapa penganalisis ketenteraan antarabangsa menyatakan bahawa Sejjil mampu membawa hulu ledak konvensional mahupun tidak konvensional termasuk senjata nuklear yang mana jika digandingkan dengan program nuklear Iran ianya boleh menjadi pertikaian antarabangsa terhadap keselematan serantau.

Iran pula menegaskan bahawa peluru berpandu ini hanya digunakan untuk tujuan pertahanan dan bukan sebagai alat provokasi. Namun begitu, kekerapan ujian misil serta retorik keras dari pemimpin Iran sering menimbulkan kebimbangan antarabangsa, terutamanya dalam kalangan negara Teluk.

Seiring ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah, peluru berpandu seperti Sejjil bukan sekadar aset ketenteraan, tetapi juga alat rundingan dan tekanan politik. Ia menjadi sebahagian daripada strategi besar Tehran untuk mengekalkan pengaruhnya dalam wilayah yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Apa jua tujuannya, Sejjil telah meletakkan negara Iran sebagai  kuasa besar dalam keupayaan pembuatan peluru berpandu. Dan selama mana senjata seperti ini terus dikembangkan, risiko konflik berskala besar di rantau ini akan kekal menghantui dunia.

#AirTimes #Pertahanan #Iran #Sejjil #PeluruBerpandu #TimurTengah #Geopolitik #MRBM

Related Articles

Leave a Reply