Home DiskusiKolumnis: Talian hayat AS buka jalan keluar kemelut NSM?

Kolumnis: Talian hayat AS buka jalan keluar kemelut NSM?

Amerika Syarikat dilihat berpotensi menjadi talian hayat kepada Malaysia dalam kemelut pembatalan penjualan Naval Strike Missile oleh Norway, namun jalan keluar itu tetap bergantung kepada keputusan politik, pertimbangan eksport senjata Washington dan kebijaksanaan diplomasi berkecuali Kuala Lumpur.

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Perkembangan terbaru berhubung isu pembatalan penjualan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia kini memasuki fasa yang lebih menarik apabila Amerika Syarikat (AS) dilihat bersedia memainkan peranan sebagai “talian hayat” kepada negara.

Selepas hampir sebulan ketidaktentuan mengenai masa depan perolehan misil berkenaan, kenyataan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas pertemuan dua hala dengan Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth di Shangri-La Dialogue memberi bayangan bahawa isu tersebut mungkin menemui jalan penyelesaian.

Jaminan AS untuk mempertimbangkan penjualan misil kepada Malaysia dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap diplomasi pertahanan negara.

Ia juga menunjukkan bahawa Kuala Lumpur kini mengambil pendekatan lebih aktif dalam mengurus kepentingan strategik negara di tengah-tengah persaingan kuasa besar di rantau Indo-Pasifik.

Dalam konteks geopolitik semasa, isu NSM bukan lagi sekadar soal pembelian aset ketenteraan, tetapi turut melibatkan keseimbangan diplomatik, kepercayaan strategik dan hubungan pertahanan antara negara.

Malaysia sebelum ini berdepan persoalan besar apabila Norway membatalkan  penjualan sistem misil NSM kepada negara.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan kerana misil tersebut merupakan komponen utama kepada kemampuan tempur kapal LCS TLDM.

Hakikatnya, reka bentuk kapal LCS Malaysia sejak awal memang telah disesuaikan khusus untuk integrasi NSM bersama sistem pengurusan tempur SETIS.

Ini bermakna pembatalan misil berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada keupayaan peperangan permukaan TLDM, malah boleh menjejaskan keseluruhan konsep operasi kapal tersebut.

Tanpa misil antikapal moden, LCS Malaysia ibarat ‘harimau tanpa taring’ kerana kapal berkenaan tidak mampu melaksanakan peperangan empat dimensi secara optimum.

Bukan sahaja LCS, malah TLDM merancang untuk melengkapkan misil NSM pada kapal NGPV kelas Kedah.

Apa yang menarik, NSM dibangunkan oleh Kongsberg Defence & Aerospace dari Norway dengan kerjasama Raytheon/RTX, maka negara Uncle Sam turut memiliki misil sama.

Versi AS dikenali sebagai RGM-184A Naval Strike Missile. Ini membuka ruang kepada Washington untuk memainkan peranan lebih besar dalam memastikan Malaysia tetap memperoleh sistem persenjataan tersebut.

Namun, persoalan paling penting ketika ini ialah sama ada pertemuan antara Mohamed Khaled dan Pete Hegseth benar-benar mampu menghasilkan keputusan konkrit.

Keraguan itu wujud kerana AS sendiri sangat berhati-hati dalam eksport sistem misil strategik berteknologi tinggi.

Sehingga kini, RGM-184A hanya dijual kepada beberapa sekutu rapat Washington seperti Australia dan Jepun yang mempunyai hubungan pertahanan amat kukuh dengan AS.

Kedua-dua negara itu juga merupakan sekutu utama dalam rangka keselamatan Indo-Pasifik yang dipimpin Washington.

Malaysia pula bukan anggota NATO dan mengamalkan dasar berkecuali dalam geopolitik antarabangsa.

Atas sebab itu, sebarang keputusan Washington untuk membantu Malaysia mendapatkan misil berkenaan akan dianggap sebagai perkembangan luar biasa dalam hubungan pertahanan dua hala.

Ia juga boleh menjadi petunjuk bahawa AS mahu memperkukuh hubungan strategik dengan Malaysia di Asia Tenggara.

Dalam masa sama, Washington mungkin melihat Malaysia sebagai rakan penting bagi memastikan keseimbangan kuasa di Laut China Selatan terus terpelihara.

Dari sudut strategik, Malaysia sememangnya memerlukan misil seperti NSM kerana ancaman peperangan maritim kini semakin kompleks.

NSM dianggap antara misil antikapal generasi kelima paling moden di dunia dengan kemampuan serangan tepat, sukar dikesan radar dan keupayaan menyerang sasaran darat serta laut.

Keupayaan itu amat penting bagi memastikan TLDM mampu beroperasi secara efektif dalam persekitaran peperangan moden.

Tambahan pula, integrasi misil tersebut dengan sistem SETIS pada LCS TLDM sebenarnya sudah dirancang sejak kontrak asal ditandatangani pada 2018.

Justeru, sekiranya Malaysia berjaya memperoleh RGM-184A atau NSM menerusi saluran AS, proses integrasi teknikal dijangka lebih mudah berbanding menukar kepada misil lain.

Bagaimana pun, Malaysia juga perlu berhati-hati dalam mengurus implikasi diplomatik daripada perkembangan ini.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dan Beijing sentiasa sensitif terhadap pengaruh ketenteraan AS di rantau ini.

Sekiranya langkah Malaysia dilihat terlalu cenderung kepada Washington, ia berpotensi menimbulkan persepsi bahawa Kuala Lumpur sedang bergerak ke arah blok keselamatan tertentu.

Sebab itu kerajaan perlu mengekalkan keseimbangan antara memperkukuh keupayaan pertahanan dan mempertahankan dasar berkecuali negara.

Secara keseluruhan, pertemuan Mohamed Khaled dan Pete Hegseth boleh dianggap sebagai perkembangan positif dalam diplomasi pertahanan Malaysia, namun kejayaan sebenar hanya dapat diukur sekiranya Washington benar-benar meluluskan penjualan misil RGM-184A atau NSM kepada TLDM.

Jika perkara itu menjadi kenyataan, ia bukan sahaja menyelesaikan kemelut NSM, malah bakal membuka lembaran baharu dalam kerjasama pertahanan strategik bernilai tinggi antara Malaysia dan Amerika Syarikat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply