KUALA LUMPUR, 18 DIS – Radar baharu untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), GM400α (Ground Master 400 Alpha)dilaporkan mempunyai keupayaan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI). Menurut Thales, radar ini dilengkapi dengan algoritma AI berkeupayaan tinggi bagi menjadikan ia sebagai satu aset strategik yang ampuh.
“Radar ini mempunyai kemampuan pemprosesan 5 kali ganda serta jarak pengesanan yang lebih jauh berbanding model yang terdahulu dan teknologi AI yang lebih canggih, ia mampu untuk memberikan pengawasan udara yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas keputusan kerajaan Malaysia untuk meterai perjanjian perolehan Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh pada 8 Disember lalu, Thales menyatakan ianya satu bentuk kepercayaan yang diberikan oleh TUDM.
Jelasnya, perjanjian yang dimeterai semasa pertemuan Menteri Angkatan Tentera Perancis, Sébastian Lecornu dan Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hassan merangkumi pembekalan infrastruktur penuh.
“TUDM sebelum ini merupakan pengguna radar GM400 dan mereka sudah tentu memberikan kepercayaan kepada Thales dengan memperolehi radar ini (GM400α),” kata kenyataan itu.
Tambahnya, perolehan dibuat oleh Malaysia selepas kejayaan ujian radar GM400α bagi mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pertahanan udara.
GM400α merupakan model terbaharu untuk siri GM400 dan kali pertama diperkenalkan pada tahun 2021.
Tambah Thales, GM400α akan menambah tahap pengawasan udara dan keupayaan pertahanan udara TUDM.
“Dengan kemampuan mobiliti, keupayaan untuk dinaiktaraf dengan mudah serta penyepaduan yang baik, radar ini memberikan pihak tentera satu peralatan yang berharga,
“Ini terutamanya untuk mendapatkan kelebihan taktikal, keupayaan untuk mengesan semua jenis ancaman dengan lebih awal,” katanya.
Tambah Thales, keupayaan mengesan ancaman dengan lebih awal secara langsung memberikan masa untuk membuat keputusan dengan lebih baik.
GM400α pada ketika ini telah digunakan pada lebih 20 buah negara. Radar ini berupaya mampu untuk mengesan jet pejuang, peluru berpandu, helikopter dan UAV secara serentak.
Mengulas perolehan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan, Pengarah Thales di Malaysia, François-Xavier Boutes menyatakan pihaknya menyambut baik keputusan tersebut,
“Kami sangat gembira kerana radar GM400α Thales dipilih oleh TUDM untuk menjadi aset strategik sistem pertahanan dan pengawasan udara Malaysia,
“Kontrak ini merupakan bukti kukuh kepimpinan Thales dalam domain radar dan menandakan kejayaan baharu dalam kisah kejayaan berterusan yang bermula pada 2009 apabila Malaysia menjadi pelanggan radar terdahulu, GM400,” katanya.
Menurut beliau, kontrak baharu ini mengukuhkan kerjasama pertahanan antara Perancis dan Malaysia.
“Thales berbangga untuk mengukuhkan kedaulatan udara Malaysia,” ujar beliau. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TUDM #Thales #GM400