Home Semasa Timor-Leste: Malaysia sumbang hampir RM900 ribu bantu keanggotaan penuh dalam ASEAN

Timor-Leste: Malaysia sumbang hampir RM900 ribu bantu keanggotaan penuh dalam ASEAN

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 6 FEB – Malaysia telah menyalurkan bantuan kewangan hampir RM900 ribu (AS$200,000) kepada Timor-Leste bagi membantu negara itu memenuhi syarat keanggotaan penuh dalam ASEAN.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dana tersebut digunakan untuk menubuhkan Unit Timor-Leste di Indonesia, yang bertujuan mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke ASEAN.

“Unit ini akan berfungsi sebagai pusat sokongan dalam membantu Timor-Leste memenuhi segala syarat dan pematuhan yang diperlukan untuk menjadi ahli penuh ASEAN,” katanya.

Beliau menegaskan, Timor-Leste perlu memenuhi 88 instrumen undang-undang serta perjanjian ASEAN sebelum diterima secara rasmi sebagai negara anggota ke-11 blok serantau itu.

Manakala, daripada jumlah tersebut, 69 instrumen berada di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), 13 di bawah Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC) dan enam lagi dalam Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).

Walau bagaimanapun, negara-negara anggota ASEAN telah bersetuju untuk melonggarkan syarat pematuhan bagi mempercepat keanggotaan Timor-Leste.

“Sebelum ini, semasa di Vientiane, Malaysia mencadangkan agar Timor-Leste tidak perlu memenuhi kesemua 88 instrumen dengan serta-merta. Sebaliknya, pematuhan sebanyak 20 hingga 30 peratus sudah memadai sebagai permulaan,

“Kami juga mencadangkan tempoh masa tertentu bagi membolehkan mereka melengkapkan pematuhan secara berperingkat sehingga diterima sebagai anggota tetap ASEAN pada tahun ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN- Paya Besar) mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh pembangunan kapasiti Timor-Leste serta inisiatif strategik ke arah keanggotaan penuh negara tersebut dalam ASEAN.

Mengulas lanjut, Mohammad memaklumkan, Timor-Leste telah memohon untuk menjadi anggota ASEAN sejak 2011 dan ASEAN secara berperingkat telah menilai serta membantu negara itu memenuhi syarat keanggotaan.

Manakala, pada November 2022, semasa sidang kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja, ASEAN secara prinsip telah bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pemenuhan kriteria dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh. – airtimes.my

#ASEAN #Timor-Leste #Malaysia #AirTimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?