Home Semasa Indonesia rancang rekrut pakar siber dari kalangan orang awam, serap jadi tentera

Indonesia rancang rekrut pakar siber dari kalangan orang awam, serap jadi tentera

by Suraya Aziz

JAKARTA, 4 FEB – Indonesia merancang untuk merekrut pakar siber dalam kalangan orang awam sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pertahanan negaranya dalam menghadapi ancaman dunia digital yang semakin kompleks.

Menurut media tempatan Indonesia, Ketua Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Mejar Jeneral Hariyanto dilaporkan berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan keupayaan TNI dengan menambah kepakaran dan pengetahuan khusus dalam bidang siber.

“Merekrut orang awam sebagai pakar siber adalah langkah strategik untuk meningkatkan pertahanan siber Indonesia dengan mengajikan individu yang memiliki kepakaran dalam teknologi maklumat, keselamatan siber dan kecerdasan buatan,

“TNI berdedikasi untuk membangunkan dan meningkatkan kemahiran anggotanya dalam bidang siber melalui pendidikan, latihan dan penugasan khas.” kata Hariyanto.

Sementara itu, ujarnya, kerjasama antara TNI dan pakar siber awam adalah penting bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan Indonesia dalam ruang siber memandangkan TNI perlu terus mengikuti perkembangan terkini bagi mengukuhkan pertahanan negara.

“Pengambilan pakar siber dari kalangan orang awam akan memberikan kelebihan strategik dalam menghadapi ancaman siber,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Hariyanto berkata, pelan pengambilan orang awam ke dalam unit siber TNI di semua peringkat akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, jumlah anggota yang diperlukan oleh TNI dan proses pengambilan  tidak dinyatakan secara spesifik.

Dalam perkembangan berkaitan, Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto berkata, pakar siber dalam kalangan orang awam yang terpilih akan dilatih dan ditempatkan dalam unit siber khas di bawah TNI.

“Akademi tentera kami berperanan melatih komander masa depan. Namun, dalam bidang seperti siber, kami akan secara khusus merekrut pakar siber dalam kalangan orang awam yang memiliki keupayaan dalam keselamatan siber untuk berkhidmat sebagai anggota tentera,” katanya pada minggu lalu.

Tambahnya, antara usaha lain termasuk mendigitalkan pendidikan kadet serta meluaskan pengambilan dalam bidang di luar pertempuran seperti perubatan, undang-undang dan psikologi.

“Kami telah mula merekrut kadet menggunakan standard yang lebih baik agar dapat melahirkan tenaga kerja yang lebih berkualiti serta pemimpin TNI yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” tambahnya lagi. -airtimes.my

#Indonesia #Rekrut #Tentera #TNI #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?