KUALA LUMPUR, 4 FEB – Pengendali media sosial yang gemar memainkan sentimen dan persepsi negatif mengenai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu berhati-hati kerana tindak tanduk diperhatikan.
Ini susulan ketegasan Panglima ATM untuk melaksanakan ‘pengurusan persepsi’ bagi menyebar maklumat tepat sekali gus memperbetulkan tanggapan termasuk di media sosial.
Bermakna wira papan kekunci tidak boleh sewenang-wenangnya menyebar maklumat yang tidak tepat apatah lagi palsu.
Tindakan itu akan ditangani melalui pelaksanaan aktiviti, tindakan dan libat urus serta menggunakan pelbagai saluran termasuk media
Tegas Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, selama ini pelan strategi media kurang diberi perhatian sedangkan ia merupakan aspek penting dalam membentuk naratif berkesan.
Katanya, ATM perlu memberi perhatian pada aspek tersebut serta berupaya mempengaruhi persepsi masyarakat umum terhadap angkatan tersebut.
“Keutamaan saya ketika ini ialah untuk menepis persepsi. Persepsi ini yang perlu kita lihat dan perlu kita perhalusi. Dan bagaimana kita melaksanakan cara yang terbaik.
“Pengurusan persepsi ini dilaksanakan dengan apa yang akan kita lakukan bersama-sama, begitu juga dengan aktiviti-aktiviti lain yang membuktikan bahawa ia dilakukan dengan betul.
“Sebab itu saya menekankan media itu penting. Interaktif bersama media itu sangat-sangat penting.
“Tidak sekadar memaklumkan apa yang dilakukan, tetapi kami akan buat kajian keberkesanan.
“Setiap perlaksanaan, apa impaknya dan kita boleh bergerak ke hadapan dari situ,” ujarnya.
Mohd Nizam berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM ke-23 di Wisma Pertahanan hari ini.
Hadir sama ialah panglima-panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Tegas PAT lagi, sesetengah pengendali media sosial ini kurang pengetahuan mengenai ATM, justeru penyebaran maklumat tepat perlu dilakukan mengenai ATM dan hala tuju pasukan tersebut.
Bagaimana pun katanya, ATM akan mengambil pendekatan selektif kerana tidak semua laporan atau berita yang tidak betul mengenai ATM perlu dijawab.
Ini kerana ada antaranya hanya digembar gemburkan, spekulasi atau tohmahan bertujuan mendapatkan reaksi ATM. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #pertahanan