Home Pertahanan dan Keselamatan Tak mahu sejarah berulang, pembangkang tuntut penjelasan kos sewa 28 helikopter

Tak mahu sejarah berulang, pembangkang tuntut penjelasan kos sewa 28 helikopter

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan diminta memberikan penjelasan berhubung isu kos pajakan 28 helikopter yang melibatkan kontrak bernilai RM16.5 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk kegunaan pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, jumlah itu dilihat sangat besar dan menimbulkan persoalan, terutama jika dibandingkan dengan kos pembelian helikopter oleh negara lain.

“Isu berkenaan helikopter, semalam, Yang di-Pertuan Agong  bertitah jangan ada perkara-perkara peribadi dibawa ke Dewan Rakyat, dan Ahli Parlimen mesti mempertahankan hak rakyat,

“Jadi kenapa kerajaan membuat polisi menyewa helikopter begitu tinggi harganya. Sekali lagi, someone is making money (ada seseorang sedang mengambil untung),

“Poland beli helikopter yang sama AW139 sebanyak 32 buah siap dengan pakej pasang dalam negara mereka sendiri. Ia baru berjumlah AS$2 bilion tapi mengapa kos sewaan kita sampai RM16.6 bilion?,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Filipina pula membeli 32 helikopter S70 Black Hawk pun (harganya) baru AS$600 juta.

Beliau turut menyatakan kebimbangan kemungkinan wujud skandal baharu berkaitan pajakan aset pertahanan ini.

“Semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak idea sewaan helikopter ini selepas kajian mendapati pembelian terus lebih menjimatkan berbanding menyewa.

“Kita tidak mahu pisang berbuah 2 kali seperti skandal kapal tempur persisir (LCS),

“Sepatutnya, faktor commonality (persamaan), harga dan kualiti tempur menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam melaksanakan perolehan sesuatu aset ketenteraan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah mengoperasikan 12 helikopter EC725 yang terbukti lasak, canggih, memiliki spesifikasi tempur dan lebih besar berbanding AW139.

Sehubungan itu, beliau berkata, sepatutnya helikopter itulah yang wajar menjadi pertimbangan kerajaan kerana penggunaan helikopter yang sama jenisnya akan menjimatkan kos penyelenggaraan.

Pada 12 November lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan berhasrat menyewa 28 buah helikopter itu adalah bagi memenuhi keperluan menjalankan operasi udara harian dan misi-misi tertentu selain peperangan.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat.

Mohamed Khaled berkata, menerusi kontrak sewaan ini, TUDM akan menerima 12 buah helikopter manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2.

Selain itu, Polis Diraja Malaysia pula menerima 7, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (4), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (2) dan JPM (1).-airtimes.my

#airtimes #keselamatan #pembangkang #helikopter #sewa #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?