Isu pelarian yang berjuang mendapatkan tempat dan kesamarataan di Malaysia bukanlah perkara baharu. Sebaliknya, sejak dekad lalu, golongan ini telah lama menuntut hak untuk bersekolah, mendapatkan rawatan perubatan bersubsidi, malah ada segelintir yang berkahwin dengan rakyat tempatan demi mendaftarkan kelahiran anak.
Media tempatan juga pernah menyorotkan usaha pelarian seperti komuniti Rohingya yang mendirikan penempatan haram dan madrasah sendiri, demi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir daripada pendidikan asas.
Kini, dalam senyap, Malaysia adalah ‘rumah’ kepada pelarian dari sekurang-kurangnya 50 negara, dengan lebih 200 ribu daripadanya adalah etnik Rohingya yang mencari perlindungan daripada konflik dan penganiayaan, setakat Februari 2025.
Walau bagaimanapun, sejak Malaysia mula meneraju ASEAN tahun ini, cadangan untuk membenarkan pelarian dan pencari suaka di Malaysia bekerja secara sah kembali mencetus perbahasan awam.
Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF) antara yang telah menyuarakan sokongan terhadap idea ini, atas alasan memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor perladangan, pembinaan, restoran dan perkhidmatan.
Dalam satu kenyataan, MEF menyeru agar kerajaan mempertimbangkan dasar yang lebih progresif dan inklusif kepada sekitar 185 ribu individu yang diklarifikasikan sebagai pelarian dan pencari suaka di negara ini. Mereka berpendapat, langkah ini bukan sahaja menjunjung hak asasi manusia, malah memberi manfaat ekonomi dalam jangka panjang.
Namun suara kerisauan tidak kurang lantang menyifatkan cadangan ini sebagai potensi lubang kebanjiran pendatang.

Pelarian menunjukkan kad UNHCR yang diterimanya (Foto Hiasan)
Kebimbangan terhadap risiko kebanjiran PATI
Kumpulan penentang kemasukan pelarian dalam pasaran kerja formal walau bagaimanapun melihat kemungkinan pemberian hak bekerja secara sah ini akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bukan kerana perlindungan kemanusiaan, namun kerana peluang ekonomi yang lebih terbuka.
Tanpa kawalan rapi, dasar ini berisiko disalah guna oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyamar sebagai pelarian atau pencari suaka demi mendapatkan permit kerja. Hal ini boleh membuka laluan kepada eksploitasi sistem dan melonjakkan kes penyeludupan manusia.
Susulan itu, perbualan tentang batasnya ihsan dan kebimbangannya keselamatan ekonomi tempatan semakin rancak.
Dalam situasi ini, satu perumpamaan sering timbul dalam wacana awam iaitu ikan bandaraya. Spesies asing ini asalnya dibawa masuk sebagai pembersih akuarium dan pemakan sisa algae. Namun apabila dilepaskan ke parit dan sungai oleh pemilik yang tidak lagi mahu memeliharanya, ikan ini membiak tanpa kawalan, memakan telur ikan tempatan dan memusnahkan ekosistem.
Hari ini, ikan bandaraya sudah menguasai sebahagian besar sistem sungai di Malaysia dan hampir mustahil untuk dihapuskan walaupun pelbagai langkah kawalan telah diambil.
Fenomena ini dijadikan analogi oleh segelintir pihak sebagai perbandingan dalam melihat isu pelarian yang dibangkitkan di Malaysia. Kedengarannya keras, mungkin tidak wajar bagi sesetengah, tetapi ia mencerminkan keresahan awam yang sahih.
Apakah yang akan berlaku sekiranya kerajaan membuka pintu kepada lebih 185,000 pelarian dan pencari suaka yang kini berada di dalam negara untuk bekerja secara sah? Sedangkan sejarah migrasi menunjukkan, apabila satu pintu dibuka tanpa pengawasan, ia sukar untuk ditutup kembali.
Potensi ekonomi mampan hanya angka
Ketika ini, status pelarian di Malaysia juga kekal rumit. Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, menjadikan pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tetap diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin dari segi undang-undang.
Mereka tidak dibenarkan bekerja, bersekolah di institusi awam atau mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh. Akibatnya, ramai yang bekerja secara tidak sah dan terus menerus menikmati sebahagian manfaat yang ditampung oleh hasil pembayar cukai.
Dari satu sudut, penyokong dasar baru percaya, sekiranya pelarian dibenarkan bekerja secara sah, mereka boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, membayar cukai dan hidup lebih bermaruah.
Kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menganggarkan, sumbangan potensi mencecah RM6.5 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2040, termasuk menjana puluhan juta ringgit dalam bentuk cukai tahunan sekiranya pelarian dibenar bekerja. Satu ekonomi ciri inklusif yang mampan.
Namun, angka ini hanyalah sebahagian kecil daripada gambaran sebenar. Apa yang tidak dikira ialah implikasi sosial daripada risiko penyalahgunaan status pelarian, tekanan ke atas perkhidmatan awam, hinggalah kepada ketegangan antara komuniti tempatan dan pendatang. Pemberian permit kerja yang sah kepada golongan ini bukan setakat mengundang lebih ramai pelarian, sebaliknya turut memberi peluang kepada peneroka tidak rasmi ‘mencuci status’ melalui sistem ini.
Apabila status pelarian tidak dipisahkan dengan jelas daripada PATI biasa, ada kemungkinan besar laluan ini disalahgunakan. Negara akan terdedah kepada kemasukan individu yang mendakwa diri sebagai pencari suaka, tetapi sebenarnya datang untuk bekerja tanpa melalui saluran buruh rasmi.
Risiko penyeludupan manusia meningkat, dan sistem sosial sedia ada boleh menjadi terlalu terbeban.
Lebih membimbangkan, sektor pekerjaan bergaji rendah seperti pasar borong, kedai mamak, dan tapak pembinaan yang kini menjadi sumber pendapatan utama ribuan rakyat Malaysia boleh mengalami penyusutan peluang sekiranya pelarian mula bersaing tanpa kawalan.

Tindakan membenarkan pelarian bekerja dengan lesen sah akan memberi tekanan kepada gaji minimum dan peluang kerja pekerja tempatan (Foto: Jabatan Tenaga Kerja)
Tekanan terhadap pekerja tempatan dan pasaran gaji
Dalam pada itu, Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah beberapa kali menzahirkan kebimbangan bahawa tindakan membenarkan pelarian bekerja akan memberi tekanan kepada gaji minimum dan peluang kerja pekerja tempatan.
Dalam banyak kes, majikan mungkin lebih suka menggaji pelarian yang lebih terdesak dan sedia menerima gaji lebih rendah berbanding rakyat sendiri. Di sinilah pentingnya satu dasar holistik yang mengimbangkan prinsip kemanusiaan dan realiti nasional. Bukan soal menolak ihsan, tetapi memastikan ihsan tidak membinasakan.
Seandainya kerajaan mahu melaksanakan dasar pekerjaan kepada pelarian, ia perlu disertai dengan mekanisme pendaftaran ketat, latihan pra-kerja, had sektor yang dibenarkan, dan pemantauan berterusan.
Pelarian hanya boleh bekerja dalam sektor 3D yang benar-benar kekurangan pekerja tempatan. Mereka juga perlu mengikuti kursus bahasa, latihan keselamatan dan integrasi sosial agar tidak menimbulkan kejutan budaya dan konflik komuniti.
Lebih penting, dasar ini tidak boleh dilihat sebagai tindakan “membuka pintu.” Sebaliknya, ia mesti dianggap seperti ‘mengeluarkan lesen’ bersyarat yang hanya diberikan kepada individu yang sudah melalui penilaian dan pengesahan yang ketat.
Sistem permit kerja mesti disandarkan kepada data UNHCR dan kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan badan penguatkuasa tempatan. Malah, setiap lesen harus disemak semula secara berkala dan boleh dibatalkan sekiranya berlaku salah guna atau pelanggaran undang-undang.
Jangan sampai terperangkap
Sementara itu, Malaysia tidak keseorangan dalam isu ini. Negara seperti Turki, Uganda dan Kenya juga telah memperkenalkan sistem pekerjaan sah untuk pelarian. Namun, mereka berdepan cabaran besar, termasuk integrasi sosial yang gagal, tekanan terhadap infrastruktur dan ketegangan kaum.
Malaysia harus mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Apa yang kita ingin elakkan ialah senario “ikan bandaraya” berulang. Dalam dunia yang semakin terikat antara nilai kemanusiaan dan keperluan nasional, Malaysia harus melangkah bijak.
Malaysia boleh bersifat penyayang, tetapi tidak boleh buta. Malaysia boleh membantu, namun jangan sampai terjerat.
Perlu diingatkan, Malaysia bukan menolak ihsan. Tetapi ihsan perlu ada garisnya. Seperti kata pepatah, “kaduk naik junjung” bukan bermakna kita prejudis terhadap kaduk, tetapi mengingatkan agar ia tidak melangkaui tempatnya.
Tanpa sistem kawalan yang kukuh, Malaysia berisiko menjadi ‘magnet’ kepada kemasukan pelarian dan pendatang asing yang lebih besar dari kemampuan negara. Sekali pintu dibuka tanpa kawalan, yang masuk bukan sahaja mereka yang mencari perlindungan, sebaliknya juga yang ingin mengambil kesempatan. -airtimes.my
#Diskusi #AirTimes #Malaysia #Pelarian