PELABUHAN KLANG, 25 Jun – Kapal Japan Coast Guard (JCG) Mizuho dan Kapal Maritim (KM) BANGGI telah melaksanakan latihan bersama di perairan Selangor, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Japan Coast Guard.
Menurut APMM, latihan ini adalah kesinambungan daripada misi lawatan pelabuhan oleh kapal Mizuho ke Malaysia yang bermula Isnin lalu, yang berlabuh di Port Klang Cruise Terminal (PKCT), Pelabuhan Klang.
“Melalui latihan ini, kedua-dua agensi penguatkuasaan maritim berkongsi amalan terbaik dalam operasi pengawasan dan keselamatan maritim, sekali gus memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu-isu keselamatan perairan dan bencana maritim,
“Hubungan erat ini mencerminkan komitmen berterusan antara Maritim Malaysia dan JCG dalam mempertingkat keupayaan operasi maritim serta mewujudkan perairan yang selamat, aman dan terjamin,” jelas APMM lagi.
Kerjasama erat ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan perairan yang lebih selamat, aman dan terjamin untuk manfaat bersama negara serantau.-airtimes.my
#keselamatan #APMM #Malaysia #Jepun #airtimes