LIPIS, 7 FEB – Kilang peluru automasi tinggi pertama negara yang terletak di Lipis, Pahang, bakal beroperasi sepenuhnya bermula Mac depan.
Pembukaan ini sekali gus membuka peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi tempatan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kilang yang diusahakan oleh Ketech Asia Sdn Bhd (Ketech Asia) itu bukan sahaja berupaya menghasilkan 60 juta butir peluru setahun bagi setiap kaliber namun turut meletakkan Malaysia di peta industri pertahanan antarabangsa.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada pengusaha kilang dan ingin mengingatkan pihak syarikat harus beri kemudahan sebaik mungkin kepada pekerja dan untuk pekerja berkhidmatlah sebaik mungkin,
“Bahan (peluru) yang dihasilkan di sini juga boleh dipasarkan ke luar negara, secara tidak langsung meningkatkan nama Malaysia, khususnya Pahang dan Lipis, di peringkat antarabangsa,” titah baginda ketika merasmikan kilang berkenaan, lapor Bernama.

Al-Sultan Abdullah berkenan melawat kilang berkeluasan 100 ekar itu dan mendengar sembah taklimat oleh pihak pengurusan kilang (Foto: Kesultanan Pahang)
Mengulas lanjut, Sultan Abdullah turut mengalu-alukan pelaburan daripada syarikat lain yang mampu membawa manfaat kepada negeri Pahang.
“Selain itu Beta alu-alukan syarikat luar negara membuka kilang pelbagai produk di negeri ini yang membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Ketech Asia, A M Maharis Abdul Wahab berkata, kilang tersebut akan mengeluarkan peluru variasi 9 milimeter (mm), 5.56 mm dan 7.62 mm, dengan pengeluaran untuk pasaran tempatan dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.
Ujarnya, pelaburan strategik ini dijangka mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan pada masa akan datang dengan keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan.
“Penubuhan kilang ini telah membuka lebih 100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, dan jumlah itu dijangka meningkat melebihi 100 lagi apabila operasi kilang beralih kepada 24 jam sepenuhnya pada tahun depan,” katanya.
Setakat ini, beberapa negara termasuk Brunei, Singapura, Kemboja, dan beberapa negara di Timur Tengah telah menyatakan minat untuk mendapatkan bekalan peluru daripada syarikat berkenaan. -airtime.my
#Kilangpeluru #Malaysia #SultanPahang #Keselamatan #Asetpertahanan