KUALA LUMPUR, 20 MAC – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan boleh mempertimbangkan untuk pulang ke tanah air secara sukarela sekiranya keselamatan mereka terancam akibat konflik bersenjata yang semakin buruk di negara terbabit.
“Wisma Putra menasihatkan semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan supaya berwaspada serta memberikan keutamaan kepada keselamatan diri,
“Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam,” menurut kenyataan sidang media pada Khamis.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya mengesahkan, kesemua 55 rakyat Malaysia termasuk 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas dalam misi United Nations Police (UNPOL), berada dalam keadaan selamat setakat ini.
“Wisma Putra melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, sedang memantau rapat situasi keselamatan yang semakin merosot di Sudan Selatan berikutan konflik bersenjata yang berterusan,
“Kami sentiasa memantau perkembangan situasi di Sudan Selatan dan berhubung dengan pihak UNPOL bagi memastikan keselamatan pegawai PDRM yang bertugas. Penugasan dan penempatan mereka juga terus diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan,” tambah kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, memandangkan keadaan keselamatan yang semakin tidak menentu, Wisma Putra menasihatkan semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri.
“Kami juga menggesa semua rakyat Malaysia di Sudan Selatan untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi supaya mereka dapat menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya,” ujar Wisma Putra.
Justeru, sebarang perjalanan ke Sudan Selatan dinasihatkan agar ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan yang boleh mengancam nyawa. -airtimes.my
#Sudanselatan #pdrm #konflik #keselamatan #airtimes #Malaysia #Wismaputra