Home SemasaIni bukan kali pertama Malaysia terima bantuan luar – Menteri Pertahanan

Ini bukan kali pertama Malaysia terima bantuan luar – Menteri Pertahanan

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa bantuan pertahanan yang diterima Malaysia daripada Jepun bukanlah perkara baharu, sebaliknya sebahagian daripada corak kerjasama antarabangsa yang lebih luas.

“Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi penerima sumbangan seperti ini dalam sektor pertahanan. Kita ada dengan Jerman, kita ada dengan Australia dan kita juga ada dengan Amerika.

“Sumbangan-sumbangan ini mengupayakan Angkatan Tentera kita,” katanya selepas majlis penyerahan pesawat tanpa pemandu (UAV) daripada Jepun kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Haigate, hari ini.

Beliau berkata apa yang berlaku hari ini mencerminkan hubungan rapat antara Malaysia dan Jepun yang kini melangkaui kerjasama tradisional kepada bidang pertahanan.

Katanya, dalam menghadapi cabaran global dan serantau, tiada negara mampu berdiri bersendirian.

“Semua ini berlaku kerana semua negara memahami hakikat bahawa dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran yang ada pada hari ini, tidak ada yang sama. Tidak ada mana-mana negara yang boleh berdiri bersorangan.

“Lebih-lebih lagi bagi kawasan Asia Tenggara dan Indo-Pasifik, termasuk Laut China Selatan yang menyumbang kepada ekonomi dunia yang besar,

“Maka, peningkatan keupayaan pertahanan setiap negara di rantau ini amat penting supaya kawasan ini terus aman, selamat dan tidak bergolak,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Khaled menambah, inisiatif di bawah Official Security Assistance (OSA) 2023 antara Malaysia dan Jepun  turut membuka ruang untuk Tokyo meningkatkan keupayaan pertahanan Malaysia.

Sumbangan UAV yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut, selaras dengan matlamat memastikan ATM berupaya menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks. – airtimes.my

#pertahanan #keselamatan #ATM #Aset #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply