NEW DELHI, 25 SEPT – India berjaya melaksanakan ujian pertama misil balistik Agni-Prime menggunakan sistem pelancar mudah alih berasaskan landasan rel.
Kejayaan tersebut dilihat sebagai langkah yang menandakan peningkatan keupayaan negara Asia Selatan itu dalam pemilikan serta pengoperasian aset strategik.
Kementerian Pertahanan India dalam kenyataan berkata ujian tersebut dilaksanakan pada Khamis menggunakan pelancar khas yang dibangunkan untuk bergerak di atas rangkaian rel tentera.

Misil balistik Agni-Prime yang dilancarkan menggunakan sistem pelancar mudah alih berasaskan landasan rel. (FOTO: X RAJNATH SINGH)
Menteri Pertahanan, Rajnath Singh menjelaskan sistem baharu itu membolehkan pelancaran dilakukan dalam masa reaksi singkat dengan tahap kerahsiaan lebih tinggi.
“Pelancar berasaskan rel ini mampu bergerak merentasi rangkaian tanpa sebarang syarat tambahan, membolehkan pelancaran segera dengan pengesanan rendah,” katanya dalam kenyataan di X.
Beliau menambah, kejayaan ini menempatkan India dalam kalangan negara terpilih yang memiliki keupayaan pelancaran berkapsul menggunakan platform rel bergerak, sekali gus memperkukuh daya tangkis strategik dan fleksibiliti operasinya.
Agni-Prime merupakan sebahagian daripada evolusi siri peluru berpandu Agni yang dibangunkan India untuk memperluas kebolehan serangan jarak sederhana serta mobiliti aset strategik Angkatan Tentera India. – airtimes.my
#airtimes #India #PeluruBerpandu #pertahanan #ketenteraan #Aset #BallisticMissile




