KUALA LUMPUR, 4 SEPT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan akan terus menyokong penuh penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) sebagai salah satu platform penting dalam memperkukuh sektor pertahanan negara dan industri tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, DSA bukan sahaja menjadi ruang untuk Malaysia mempamerkan kemampuan serta potensi pertahanan, malah berfungsi sebagai jambatan kerjasama antarabangsa.
“Saya percaya pameran ini bukan sahaja cukup penting untuk Kementerian Pertahanan, tetapi juga untuk perkembangan industri pertahanan tempatan dan negara,
“Kementerian Pertahanan memberi sokongan penuh kepada Defence Services Asia Exhibition and Conference dan akan bekerjasama rapat bagi memastikan kejayaan penganjurannya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial miliknya, hari ini.
Kenyataan ini dibuat susulan pertemuan beliau dengan delegasi Defence Services Asia Exhibition and Conference Sdn Bhd, diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin.
Menurut Khaled, pertemuan tersebut memberikan peluang mendalami perancangan dan penyediaan pameran DSA yang akan berlangsung tahun hadapan, yang kosnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penganjur.
“DSA adalah sebuah pameran dwitahunan terkemuka yang dianjurkan sendiri oleh syarikat tersebut dengan kos dan perbelanjaan juga ditanggung sepenuhnya olehnya.
“Pertemuan bersama syarikat itu tadi memberi ruang untuk saya mendengar perancangan dan persediaan bagi DSA yang akan diadakan pada tahun hadapan,” tambahnya.
Pada edisi terdahulu, DSA & NATSEC Asia 2024 yang diadakan di MITEC, Kuala Lumpur menyaksikan penyertaan lebih 1,300 syarikat dari 60 negara, termasuk delegasi tinggi dari 45 negara. Pameran itu mencatat nilai kontrak lebih RM9.4 bilion melibatkan MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Selain menjadi tumpuan rundingan antarabangsa, DSA turut memberi impak ekonomi lebih RM700 juta kepada negara serta membuka ribuan peluang pekerjaan.
Edisi seterusnya, DSA 2026, dijadualkan berlangsung pada April tahun hadapan, di Kuala Lumpur dengan jangkaan penglibatan lebih besar daripada syarikat tempatan dan antarabangsa. -airtimes.my
#pertahanan #MINDEF #Aset #DSA2026 #airtimes
