Ketegangan serta ketidakpastian yang melingkari rantau Asia Tenggara mutakhir ini, memberi kesan langsung terhadap landsksap keselamatan ASEAN. Dinamika geopolitik yang pesat berubah, diiringi arus kemodenan serta persaingan kuasa besar, sedikit sebanyak menggugat keseimbangan serantau yang sedia ada. Ketegangan antarabangsa yang kian meruncing turut meninggalkan kesan terhadap iklim pertahanan negara.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, memikul tanggungjawab besar memastikan keamanan rantau terus terpelihara, selain memperkukuh hubungan diplomatik antara negara anggota. Peranan ini semakin mencabar apabila krisis kedaulatan dan ancaman baharu muncul dalam bentuk politik, ekonomi, keselamatan serta perubahan iklim.
Walaupun kepentingan politik dan ekonomi setiap negara anggota ASEAN berbeza, Malaysia harus menjadi penggerak utama mewujudkan kesepakatan. Hanya dengan kesatuan yang mantap, ASEAN mampu bertindak secara kolektif dalam menghadapi cabaran serantau dan global yang semakin kompleks.
Pertahanan dalam menghadapi perubahan iklim
Perubahan iklim kini menjadi faktor baharu yang memberi kesan langsung kepada keselamatan. Banjir besar, kebakaran hutan, dan ribut tropika bukan sahaja mengancam nyawa rakyat, malah menguji kesiapsiagaan pertahanan negara. Justeru, strategi keselamatan moden perlu menggabungkan aspek ketenteraan dengan pengurusan risiko bencana.
Kesiapsiagaan ini memastikan angkatan tentera kekal tangkas, mampu menyesuaikan diri serta beroperasi dalam apa jua keadaan. Dalam konteks inilah, pertahanan negara menjadi benteng bukan sahaja terhadap ancaman luar, tetapi juga terhadap kesan perubahan iklim.
ATM sebagai tonggak kesiapsiagaan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kekal sebagai tonggak utama pertahanan negara. Bagi memastikan negara kekal mampan, pelan kesiapsiagaan ATM telah digariskan secara strategik melalui beberapa dokumen penting, antaranya Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Ketenteraan Negara (SKN), ATM Dimensi ke Empat (4DMAF) serta Pelan Pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa dokumen-dokumen tersebut menjadi asas utama perancangan kesiapsiagaan ATM. KPP yang dibentangkan pada Disember 2019, menggariskan keperluan ATM yang tangkas dan berupaya menguasai pelbagai domain “multi domain capable”, serta bersedia menghadapi ancaman baharu termasuk hibrid, konflik maritim, peperangan siber dan bencana alam akibat perubahan iklim.
Seiring itu, SKN digubal secara holistik dan inklusif dengan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama, iaitu cegah rintang berpadu, pertahanan komprehensif dan perkongsian berwibawa.
Khaled menjelaskan bahawa prinsip “multi layered defence” dan konsep “Whole Of Government and Whole Of Society (WOGOS)” atau Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) diadaptasi bagi memastikan kerjasama erat ATM dengan agensi keselamatan lain dalam menangani ancaman termasuk bencana alam.
“ATM akan bekerjasama erat dengan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara dalam menangani ancaman termasuklah bencana iklim,” jelasnya, dalam kenyataan jawapan bertulis di Dewan Rakyat Parlimen.
Menuju Angkatan Masa Hadapan (AMH)
Dalam pada itu, KPP, SKN dan 4DMAF turut menyasarkan pembentukan AMH yang mampu mendominasi operasi pelbagai domain secara bersepadu. AMH diharap dapat menumpaskan pelbagai spektrum ancaman dengan tangkas serta menumpukan kepada misi yang telah ditetapkan.
Khaled menekankan bahawa membina angkatan yang kredibel memerlukan enam objektif utama, iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, teknologi, keupayaan beroperasi di dua wilayah, misi berfokus, dan logistik efisien. Evolusi ini menuntut perubahan bukan sahaja dari segi aset dan teknologi, tetapi juga doktrin, struktur, kepimpinan dan pelan strategik.
Kepimpinan Malaysia di peringkat ASEAN
Meskipun pelan pertahanan dirangka dengan teliti, kejayaan Malaysia dalam menjamin keselamatan serantau bergantung kepada kesepakatan ASEAN. Malaysia perlu memimpin dengan kebijaksanaan diplomtik, lantang menyuarakan kepentingan rantau di peringkat global, serta mengekalkan keseimbangan antara diplomasi dan kekuatan ketenteraan.
ATM sebagai barisan hadapan harus kekal moden, tangkas, dan berupaya menyesuaikan diri dalam persekitaran operasi baharu. KPP, SKN, 4DMAF dan AMH menjadi kerangka penting mengukuhkan daya tahan negara serta peranan Malaysia sebagai peneraju keamanan ASEAN. Dengan kesepakatan serantau dan kesiapsiagaan menyeluruh, kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat dapat terus dipertahankan. -airtimes.my
#Airtimes #Geopolitik #Serantau #Pertahanan #ASEAN #Malaysia
