Di tengah-tengah keindahan kota bersejarah merentasi dua benua, diiringi kegamatan jutaan manusia yang memecah keheningan pagi, serta desiran ombak dan angin bayu yang menyapa lembut, Turkiye tampil sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan dan sejarah tersendiri.
Namun, di bawah cahaya mentari yang mula menjengah menyinari kota, suasana jalanan yang tadinya padat perlahan-lahan menjadi lengang. Hiruk – pikuk kota besar beralih kepada rentak yang lebih teratur, sepi dan tenang buat seketika. Itulah simbol sebuah negara Eurasia yang mengabdikan memori kepada presiden pertamanya, Mustafa Kemal Atatürk.
Tepat jam 9:05 pagi, pada 29 Oktober setiap tahun, detik itu menjadi azimat buat warga Turkiye memperingati pemergian Atatürk. Dalam upacara selama seminit, menyaksikan rakyatnya berdiri tegak tanpa melakukan apa-apa, dan segala urusan harian dihentikan. Siren kapal dibisukan, perjalanan ditangguhkan sebagai tanda hormat terhadap perjuangan negarawan yang digelar ‘Bapa Bangsa Turkiye’.
Simbol ‘Hari Republik’

Rakyat Turkiye berdiri tegak sebagai tanda hormat dan mengenang jasa Atatürk yang telah membangunkan Turkiye moden. Foto Hiasan
Tarikh 29 Oktober bukan sekadar memperingati pemergian Atatürk, tetapi juga menandakan kelahiran semula sebuah negara selepas kejatuhan empayar Uthamaniyyah. Hari itu diiktiraf sebagai ‘Hari Republik’, simbol kebangkitan Turkiye daripada kekalahan pasca Perang Dunia Pertama. Hari inilah titik tolak kepada usaha Atatürk mengubah wajah negara yang ketika itu berdepan krisis politik, ekonomi dan identiti.
Atatürk sering digambarkan sebagai tokoh kontroversi. Bagi sesetengah pihak, beliau dianggap sebagai individu yang meruntuhkan empayar Uthmaniyyah dan membawa reformasi sekular yang mengubah gaya hidup rakyat. Namun, jika diteliti semula fakta sejarah, kejatuhan Uthmaniyyah berlaku pada 3 Mac 1924 dan bukannya berpunca sepenuhnya daripada beliau.
Hakikatnya, empayar yang pernah menguasai sebahagian besar dunia itu sudah pun lumpuh empat tahun lebih awal. Kehancuran sebenar adalah bermula apabila Uthmaniyyah menandatangani Perjanjian (Sevres Treaty of Sèvres) pada 10 Ogos 1920 selepas tewas dalam Perang Dunia Pertama. Perjanjian itu menyaksikan wilayah Uthmaniyyah dibahagi-bahagikan kepada kuasa besar Barat, manakala kedaulatan politik dan ketenteraan mereka dikekang dengan drastik.
Ini menunjukkan ketidakadilan apabila menyalahkan Atatürk semata-mata, sedangkan beliau telah berjaya membangunkan semula Turkiye sebuah negara moden selepas kehancuran perang. Malah, banyak pembaharuan yang diperkenalkan kekal hingga ke hari ini, di mana dapat kita lihat Turkiye muncul sebagai antara pusat pelancongan antarabangsa, dan pemain utama industri pertahanan dunia.
Cerminan buat rakyat Malaysia
Penghormatan terhadap Atatürk bukan sekadar simbol politik, tetapi lahir daripada rasa bangga terhadap keupayaannya membuktikan bahawa Turkiye mampu bangkit daripada kehancuran. Beliau juga serlah sebagai penyelamat yang mengembalikan maruah rakyat selepas trauma perang dan kejatuhan empayar.
Secara tidak langsung, pengalaman ini membuka ruang refleksi tentang erti kepimpinan yang wajar dihayati oleh rakyat Malaysia. Keberanian seorang tokoh mencabar status quo walaupun mendapat tentangan, tidak menghalangnya membina kemajuan. Malah, pembaharuan besar yang dibawa olehnya menunjukkan bahawa kepentingan masa depan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Reformasi Atatürk mungkin berbeza dengan nilai yang kita junjung hari ini, namun keberaniannya melaksanakan perubahan struktual adalah asas yang perlu dikagumi. Ia menjadi pengajaran bahawa kepimpinan berwawasan adalah faktor utama dalam menentukan pembangunan sebuah bangsa.
Legasi yang kekal
Meskipun, ideologi yang dibawa olehnya terus diperdebatkan sehingga ada yang ingin memburukkan imejnya. Tidak dapat dinafikan tanpa dirinya dan jasa besar serta keperwiraannya, wajah Turkiye yang tersergam indah moden tidak akan wujud seperti kita lihat hari ini. Namanya terus hidup dalam setiap sudut Turkiye, dari lapangan terbang antarabangsa, monumen bersejarah, pada mata wang Turkiye, hinggalah ke dalam buku teks sekolah, beliau sentiasa dikenang sebagai arkitek Turkiye moden.
Setiap kali siren berbunyi pada 29 Oktober, rakyat Turkiye berdiri tegak dan berdiam diri bukan hanya sebagai tanda hormat, tetapi simbol penghargaan kepada seorang pemimpin yang berjaya mengubah nasib bangsanya. Itulah warisan Mustafa Kemal Atatürk, bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi ikon kebangkitan sebuah bangsa. -airtimes.my
#Airtimes #Ataturk #Uthmaniyyah #Turkiye
