Home DiskusiIndonesia pilih KAAN: Malaysia pernah ditawar tapi ke mana?

Indonesia pilih KAAN: Malaysia pernah ditawar tapi ke mana?

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Indonesia telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 48 pesawat tempur generasi kelima KAAN dari Turki, menjadikannya pelanggan antarabangsa pertama bagi jet pejuang canggih keluaran Turkish Aerospace Industries (TUSAS).

Perjanjian ini diumumkan semasa Pameran INDO Defence 2025 di Jakarta dan menandakan permulaan kerjasama strategik antara Ankara dan Jakarta dalam bidang aeroangkasa ketenteraan.

Pesawat KAAN, yang melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 2024, dijadualkan untuk penghantaran pertama dalam tempoh 10 tahun.

Perjanjian ini juga merangkumi pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan tempatan di Indonesia.

Tawaran turut sampai ke Malaysia
Di sebalik kemajuan pesat ini, persoalan mula timbul mengenai kedudukan Malaysia dalam usaha memperbaharui inventori pesawat pejuang. Sehingga kini, Malaysia masih belum memuktamadkan rancangan penggantian pesawat tempur pelbagai peranan yang telah lama dibincangkan.

Selain Gripen C/D/E/F buatan Sweden, KAAN dilaporkan turut ditawarkan kepada Malaysia oleh TUSAS seperti yang dimaklumkan Setiausaha Industri Pertahanan Turki, Prof Dr Haluk Gorgun. Namun tiada maklum balas rasmi diberikan oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) Malaysia berkaitan tawaran berkenaan.

KAAN merupakan pesawat tempur generasi kelima yang dibangunkan Turkiye dengan matlamat menggantikan pesawat F-16 sedia ada (Foto: TUSAS)

Turkiye ganti F-16 menjelang 2030
Pesawat KAAN dibangunkan oleh TUSAS dengan matlamat untuk menggantikan pesawat F-16 sedia ada dalam inventori Tentera Udara Turki secara berperingkat bermula 2030.

Sebagai pesawat tempur generasi kelima, KAAN direka untuk keupayaan tempur udara-ke-udara dan udara-ke-darat, dengan kebolehan melakukan serangan tepat kepada sasaran dari ruang senjata dalaman pada kelajuan tinggi atau supersonik.

Antara teknologi utama yang dibangunkan termasuklah keupayaan berpantulan rendah atau stealth, ruang simpanan senjata dalaman yang mengurangkan jejak radar, kebolehan manuver tinggi, serta sistem yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI), membolehkan situasi taktikal dianalisis secara waktu nyata.

Selain itu, KAAN juga dilaporkan memiliki keupayaan supercruise, membolehkan pesawat terbang pada kelajuan supersonik secara berterusan tanpa pembakaran tambahan .

Bukan itu sahaja,  pesawat tempur buatan Turkiye ini disifatkan sebagai interoperable, iaitu boleh beroperasi bersama aset semasa dan masa hadapan. Ia sekaligus menjadikannya pilihan fleksibel bagi negara yang sudah memiliki atau merancang mendapatkan sistem persenjataan dari pelbagai sumber.

KAAN, pesawat tempur yang sama pernah ditawarkan kepada Malaysia (Foto: TUSAS)

Malaysia perlu pelaburan pertahanan berimpak tinggi
Malaysia, sebaliknya, terus berada dalam zon samar. Sejak sedekad lalu, negara ini menyuarakan keperluan menggantikan pesawat MiG-29 yang sudah bersara dan mengembangkan kemampuan tempur pelbagai peranan.

Pilihan-pilihan yang pernah disebut termasuklah Rafale dari Perancis, Eurofighter Typhoon dari United Kingdom dan Su-57 dari Rusia, namun semuanya kekal sebagai perbincangan peringkat awal.

Setakat ini, Indonesia telah menunjukkan pendekatan yang lebih agresif dan menyeluruh. Selain pembelian 48 pesawat KAAN dari Turki, republik itu turut memeterai kontrak pembelian 42 pesawat Rafale dari Perancis dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada 2026.

Indonesia juga menandatangani perolehan 2 kapal selam Scorpene Evolved varian terkini daripada Naval Group Perancis, yang dijadualkan siap dalam tempoh 7 tahun .

Selain itu, Indonesia sedang menunggu ketibaan dua pesawat pengangkut A400M, 60 buah UAV ringan Bayraktar TB3, beberapa unit UCAV Bayraktar TB2, 9 Bayraktar Akinci dan 12 UAV TAI Anka kategori MALE.

Republik itu juga sedang merundingkan pembelian 24 pesawat F-15EX dari Amerika Syarikat, pesawat Chengdu J-10 dari China, serta membuka rundingan bagi sistem peluru berpandu supersonik BrahMos hasil kerjasama Rusia dan India .

Berbeza dengan Malaysia, yang sehingga kini hanya berjaya memuktamadkan perolehan pesawat FA-50 dari Korea Selatan untuk program Light Combat Aircraft (LCA). Walaupun ia penting sebagai platform latihan lanjutan dan pengisian keupayaan sementara, namun ia masih belum mencukupi untuk menutup jurang kritikal dalam keperluan pesawat tempur pelbagai peranan negara .

Dalam jangka panjang, kelewatan membuat keputusan dalam sektor pertahanan udara bukan sekadar isu teknikal. Ia berisiko menjejaskan kedudukan strategik Malaysia dalam persekitaran serantau yang semakin kompetitif.

Dalam dunia pertahanan moden, menunggu terlalu lama boleh menyebabkan kita kehilangan peluang bukan sahaja untuk memiliki sistem canggih, tetapi juga menjadi sebahagian daripada ekosistem teknologi pertahanan global.

Perkara ini sudah jelas dan nyata dengan melihat DEMAM MRCA yang pernah melanda negara pada satu ketika dahulu. Malaysia pernah ditawarkan dengan pakej Gripen yang hampir sama digunakan oleh Thailand pada ketika ini. Selepas beberapa tahun, program tersebut seakan-akan lenyap.

Malah, memang akan ada menyatakan Malaysia tidak perlu mengikut Indonesia tetapi hakikatnya, Indonesia benar-benar menghidupkan kata-kata NKRI Harga Mati dalam konteks perbuatan serta tindakan mereka. Mengapa? Kerana Indonesia boleh dilihat gerakkan kemajuan ketenteraan mereka seiring dengan kuasa soft power mereka. – airtimes.my

#KAAN #aset #pertahanan #Diskusi #MRCA

Related Articles

Leave a Reply