Kestabilan dan kemampanan sektor pertahanan sesebuah negara tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pemerolehan senjata import yang mahal dan secara terus (off-the-shelf) dari industri pertahanan kuasa besar. Dalam era persaingan kuasa besar yang semakin kompleks, realiti geopolitik moden menuntut keupayaan negara membangunkan aset pertahanan sendiri daripada terus membelanjakan kos astronomi demi memiliki teknologi luar.
Dalam dekad terakhir ini, dominasi udar global yang sekian lama dimonopoli oleh Amerika Syarikat dan Rusia mula dicabar oleh kebangkitan “kuasa pertahanan pertengahan”. Dua program pesawat tempur yang sering menjadi tumpuan penganalisis ketenteraan ialah TAI KAAN dari Turkiye dan KAI KF-21 Boramae dari Korea Selatan.
Kedua-duanya sering dibincangkan sebagai alternatif kepada F-35 Lightning II, hakikatnya KAAN dan KF-21 lahir daripada falsafah reka bentuk, keperluan strategik dan pendekatan pembangunan yang sangat berbeza. Kebangkitan Turkiye dan Korea Selatan sebagai pengeluar pesawat tempur generasi baharu, sekali gus menandakan peralihan penting dalam landskap industri pertahanan global.
Ia mencerminkan usaha sistematik untuk keluar daripada bayang-bayang kebergantungan teknologi Barat, sekali gus membentuk identiti aeroangkasa nasional yang lebih berdikari.
Falsafah reka bentuk: Cita-cita vs. Pragmatisme

Perbezaan paling ketara antara KAAN dan KF-21 terletak pada cita-cita asasnya. Turkiye, melalui Turkish Aerospace Industries (TUSAS), memilih laluan berisiko tinggi dengan membangunkan pesawat generasi kelima sebenar yang menekankan kebolehan siluman sejak peringkat awal reka bentuk.
KAAN dibangunkan untuk menggantikan F-16 serta mengisi kekosongan strategik selepas Ankara disingkirkan daripada program F-35. Keputusan ini mendorong Turkiye membina platform yang mampu beroperasi tanpa kebergantungan kritikal kepada Amerika Syarikat. Justeru, KAAN direka sebagai pesawat dominasi udara mutlak (air superiority), dengan saiz besar, muatan senjata tinggi dan ciri halimunan menyeluruh.
Sebaliknya, Korea Selatan melalui Korea Aerospace Industries (KAI) mengambil pendekatan lebih pragmatik dan evolusionari. KF-21 Boramae diklasifikasikan sebagai pesawat Generasi 4.5+ yang menggabungkan elemen generasi kelima. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan risiko teknikal dan kos pembangunan, sambil memastikan keupayaan operasi dapat dicapai dalam tempoh lebih singkat.
Misi utama KF-21 adalah menggantikan armada F-4 Phantom dan F-5 Tiger yang usang dengan kos operasi yang munasabah dan kebolehpercayaan, bukan untuk menyaingi F-35 secara terus tetapi untuk melengkapinya.
Korea Selatan tidak berhasrat menyaingi F-35 secara langsung, sebaliknya membina pesawat yang boleh melengkapi ekosistem udara sedia ada. Pendekatan ini mencerminkan budaya industri Korea Selatan yang menekankan kebolehsampaian pasaran dan kesinambungan naik taraf.
Siluman, sensor dan kompromi kos
Dari sudut keupayaan siluman, jurang teknologi antara kedua-dua pesawat adalah jelas. KAAN direka dari awal dengan ruang senjata dalaman (Internal Weapon Bay – IWB) sepenuhnya serta bentuk fisulaj yang meminimumkan keratan rentas radar. Ciri ini penting bagi misi penembusan ruang udara berisiko tinggi dan operasi dalam persekitaran penafian akses dan kawasan (A2/AD). Namun, pembangunan teknologi siluman memerlukan kos tinggi, tempoh panjang dan integrasi sistem yang kompleks. Pilihan Turkiye ini mencerminkan kesediaan Ankara menanggung risiko jangka pendek demi mencapai kebebasan strategik jangka panjang.
Sebaliknya, KF-21 dalam varian awal Block I membawa senjata pada stesen separa terbenam (semi-recessed) di bawah fiuslaj, bukan di dalam ruangan dalaman. Ini menjadikan pesawat tersebut lebih mudah dikesan radar berbanding KAAN atau F-35, namun ia mengurangkan kos pembangunan dan penyelenggaraan secara drastik.
Pendekatan ini membolehkan KF-21 berfungsi sebagai pesawat pelbagai peranan yang sesuai untuk pertahanan udara, serangan tepat dan rondaan maritim. Korea Selatan merancang untuk memperkenalkan ruang senjata dalaman hanya pada varian Block III, sekali gus menyediakan laluan naik taraf yang realistik dan berperingkat.
Avionik, radar AESA dan ekosistem tempatan

Kedua-dua negara memahami bahawa keunggulan pesawat tempur moden bukan hanya terletak pada kerangka udara, tetapi pada avionik, penderia dan integrasi sistem. Turkiye dan Korea Selatan masing-masing membangunkan Radar AESA (Active Electronically Scanned Array) secara domestik, walaupu pada tahap kematangan berbeza.
Turkiye, yang sering berhadapan sekatan senjata Barat, telah memacu syarikat tempatan seperti ASELSAN untuk membangunkan radar AESA berasaskan teknologi GaN (Gallium Nitride) serta sistem peperangan elektronik (EW) bersepadu. KAAN juga direka untuk mengintegrasikan peluru berpandu tempatan seperti Gökdoğan dan Bozdoğan tanpa perlu kebergantungan kepada kod sumber Amerika Syarikat.
Bagi KF-21, Korea Selatan memilih strategi hibrid dengan menggabungkan teknologi tempatan dan rakan antarabangsa. Walaupun masih bergantung kepada enjin dan beberapa subsistem Amerika, Korea Selatan berjaya mengekalkan tahap kedaulatan mencukupi eksport dan integrasi senjata tempatan, dengan kekangan ITAR yang lebih minimum.
Implikasi Geopolitik: Alternatif Baharu Dunia
Kehadiran KAAN dan KF-21 membuka dominasi baharu dalam diplomasi senjata global. Ia menawarkan pilihan kepada negara yang mahu mengimbangi keupayaan ketenteraan, kos dan kedaulatan tanpa terikat sepenuhnya kepada syarat politik Barat. KAAN dilihat sebagai simbol kebangkitan teknologi dunia Islam, khususnya bagi negara yang mencari rakan pertahanan alternatif.
Sementara itu, KF-21 menarik minat negara Asia Tenggar dan Eropah Timur yang mahukan keserasian NATO, tetapi dengan syarat pemindahan teknologi lebih fleksibel. Pertembungan KAAN dan KF-21 bukan soal siapa lebih unggul, tetapi cerminan dua strategi berbeza menuju kedaulatan udara. KAAN adalah manifestasi keberanian Turkiye untuk berdikari secara mutlak, manakala KF-21 adalah bukti kebijaksanaan Korea Selatan mengimbangi cita-cita dengan realiti ekonomi. Bagi pemerhati antarabangsa, mesejnya jelas: Era monopoli mutlak Barat dalam teknologi pesawat tempur kini semakin menghampiri penghujungnya. -airtimes.my


