Home SemasaGlobalIndonesia bakal terima 48 pesawat tempur KAAN

Indonesia bakal terima 48 pesawat tempur KAAN

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

JAKARTA, 12 JUN – Indonesia akan memperoleh sebanyak 48 unit pesawat tempur generasi ke-5, KAAN, dari Turkiye dalam tempoh 10 tahun menerusi perjanjian strategik pertahanan yang turut melibatkan penyertaan industri tempatan republik Asia Tenggara itu.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, perkembangan itu sebagai lambang kemajuan pesat industri pertahanan negaranya dan pengukuhan hubungan dua hala bersama Indonesia.

“Saya ingin berkongsi satu perkembangan yang amat penting dan membanggakan mengenai pesawat tempur nasional kita, KAAN,

“Sebanyak 48 unit pesawat KAAN akan dihasilkan di Turkiye dan dieksport ke Indonesia, selaras dengan perjanjian yang telah dimeterai bersama negara sahabat dan serumpun, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.

Tambah Erdogan, keupayaan industri tempatan Indonesia akan turut dimanfaatkan dalam proses pengeluaran pesawat tersebut.

“Perjanjian ini akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara, Turkiye dan Indonesia, serta memperlihatkan dengan jelas pencapaian dan kemajuan industri pertahanan kita yang bersifat tempatan dan nasional,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Turkish Aerospace Industries (TUSAS) dalam kenyataan berasingan menjelaskan, perjanjian tersebut telah dimeterai pada 11 Jun sempena pameran pertahanan INDO Defence 2025 di Jakarta.

“Satu perjanjian eksport yang mencatat rekod dalam sejarah Turkiye telah dimeterai bersama Indonesia. Perjanjian tersebut merangkumi penjualan 48 pesawat pejuang KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace dengan keupayaan tempatan sepenuhnya,

“Penghantaran 48 pesawat pejuang KAAN tersebut dijangka akan disempurnakan dalam tempoh 120 bulan. Pesawat-pesawat ini akan dilengkapi dengan enjin buatan tempatan dari Turkiye,” menurut kenyataan itu.

TUSAS berkata, perjanjian tersebut bukan sekadar melibatkan penghantaran pesawat, malah meliputi pemindahan teknologi dalam bidang penerbangan serta perkongsian kepakaran teknikal.

Sementara itu, KAAN merupakan pesawat tempur generasi kelima yang dibangunkan sepenuhnya oleh Turkiye melalui TAI. Ia direka untuk melaksanakan misi pelbagai peranan dalam peperangan udara-ke-udara dan udara-ke-darat secara berkesan.

Pesawat ini mampu menampilkan keupayaan manuver tinggi, kebolehlihatan radar yang rendah, avionik berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta keupayaan peperangan yang tinggi. Malah, penerbangan sulung KAAN telah berjaya dilaksanakan pada 21 Februari 2024 dan diikuti penerbangan kedua pada 6 Mei.

Perolehan ini dijangka menjadi tulang belakang kekuatan udara Indonesia, selain menandakan era baharu kerjasama strategik Turkiye–Indonesia dalam bidang aeroangkasa. Ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Turkiye dalam pasaran pertahanan global. -airtimes.my

#Airtimes #KAAN #pertahanan #aset

Related Articles

Leave a Reply