MOSCOW, 12 Jun – Rusia menuduh NATO dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai punca utama kegagalan usaha damai di Ukraine, ketika ketegangan di medan tempur terus menunjukkan peningkatan ketara.
Dalam satu kenyataan rasmi Kementerian Luar, Rusia mendakwa Barat sedang mendorong Kyiv untuk meneruskan pertempuran melalui penghantaran bantuan ketenteraan berskala besar, selain menyokong aktiviti sabotaj dan provokasi di wilayah Rusia.
Menurut kenyataan itu, walaupun rundingan damai kembali dibangkitkan, beberapa negara Barat didakwa sengaja memperhebat serangan maklumat, selain memperluaskan peranan ketenteraan mereka dalam konflik yang kini memasuki fasa lebih genting.
Di medan tempur, tentera Rusia dilaporkan terus mara di beberapa sektor utama. Kawasan keselamatan diperluas meliputi wilayah Sumy, Kharkiv dan Donetsk dengan beberapa penempatan termasuk Zarja, Novopol, Redkodub, Fyodorovka, Alekseevka, Andreevka, Vodolagi dan Kondratovka kini dikuasai sepenuhnya.
Berdasarkan maklumat rasmi Rusia, pasukan tentera Ukraine didakwa mengalami kerugian besar sepanjang Jun, termasuk kehilangan kira-kira 14,000 anggota, 12 kereta kebal, lebih 160 kenderaan perisai, ratusan sistem artileri serta lebih 2,000 dron tempur.
Selain itu, sebagai tindak balas terhadap serangan Ukraine ke atas pangkalan strategik Rusia, Rusia melancarkan siri serangan balas menggunakan peluru berpandu berketepatan tinggi dari udara, laut dan darat, selain dron serangan yang menyasarkan kemudahan ketenteraan utama Ukraine.
Antara sasaran termasuk kilang senjata, pusat pembaikan ketenteraan, pusat latihan juruterbang, gudang simpanan senjata serta lapangan terbang tentera Ukraine di Dubno, wilayah Rivne.
Rusia turut memberi amaran kepada Barat berhubung dakwaan penggunaan secara langsung teknologi NATO dalam operasi Ukraine, termasuk bantuan data satelit dan sistem kawalan tempur canggih yang menurut Rusia, mustahil diperoleh tanpa penglibatan negara-negara NATO tertentu.
Kritikan turut ditujukan kepada Berlin susulan kenyataan Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang menyokong pelonggaran sekatan penggunaan peluru berpandu jarak jauh oleh Kyiv.
Rusia menegaskan bahawa penggunaan senjata jarak jauh yang dibekalkan oleh Barat akan dilihat sebagai penglibatan langsung NATO dalam konflik ini dan bakal mengubah sifat peperangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusia mendedahkan ujian medan sistem hipersonik baharu Oreshnik telah dilaksanakan dalam situasi tempur sebenar. Kejayaan ujian itu, menurut Rusia, menegaskan kemampuan strategik ketenteraannya yang kini terus dipertingkatkan.
Sementara itu, Rusia menzahirkan kebimbangan terhadap sokongan berterusan Barat dalam membina kekuatan industri ketenteraan Ukraine.
Belanda dilaporkan telah menyerahkan tambahan 24 pesawat pejuang F-16 kepada Ukraine, manakala EU meluluskan dana keselamatan berjumlah 150 bilion Euro bagi menyokong sektor pertahanan. Jerman pula memperuntukkan sekitar 5 bilion Euro bagi membangunkan pengeluaran peluru berpandu jarak jauh di Ukraine.
Beberapa syarikat pertahanan Barat juga dilaporkan memulakan pembinaan kilang amunisi dan dron di Ukraine, termasuk Rheinmetall dari Jerman dan Renault dari Perancis. Rusia menegaskan semua kemudahan pengeluaran senjata di Ukraine kini menjadi sasaran sah operasi ketenteraan Rusia.
Di medan serangan balas, Rusia mendakwa tentera Ukraine meningkatkan serangan ke atas kawasan awam di wilayah sempadan, menggunakan artileri, bom kluster, bom berpandu, dron serta mensasarkan laluan kereta api di beberapa wilayah termasuk Belgorod, Kursk, Luhansk dan Zaporizhzhia.
Sepanjang minggu lalu sahaja, lebih 1780 unit amunisi dilancarkan ke arah sasaran awam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 107 orang awam tercedera dan empat maut.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusia memaklumkan telah menyerahkan lebih 6,000 mayat anggota tentera Ukraine yang terbunuh, di bawah perjanjian Istanbul.-airtimes.my
#AirTimes #RussiaUkraineConflict #NATO #EU #DiplomasiPerang #Geopolitik