Home GlobalBeli 103 pesawat: Korean Air bakal jadi pengendali Boeing terbesar Asia

Beli 103 pesawat: Korean Air bakal jadi pengendali Boeing terbesar Asia

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

WASHINGTON, 26 OGOS – Korean Air mengumumkan komitmen membeli 103 pesawat Boeing baharu dalam usaha memperkukuh strategi modernisasi armada serta menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat penerbangan berkenaan.

Perjanjian tersebut merupakan pesanan terbesar dalam sejarah Korean Air dan menandakan rekod baharu sebagai tempahan pesawat badan lebar terbesar Boeing daripada sebuah syarikat penerbangan Asia. Ia turut mencatatkan kali pertama syarikat itu menempah model kargo 777-8F.

Menurut kenyataan rasmi, pesanan berkenaan merangkumi 20 pesawat 777-9, 25 pesawat 787-10, 50 pesawat 737-10 serta 8 pesawat 777-8 Freighter.

“Perolehan pesawat generasi baharu ini adalah teras strategi modernisasi kami, selain memastikan penggabungan dengan Asiana melahirkan syarikat penerbangan yang lebih berdaya saing,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Korean Air, Walter Cho.

Mengulas lanjut, pesawat-pesawat baharu itu menawarkan pelbagai kelebihan teknologi dan kecekapan berbeza. Model 777-9 mampu membawa sehingga 426 penumpang dalam konfigurasi dua kelas dengan jarak penerbangan sejauh 13,510 kilometer, di samping penjimatan bahan api serta pengurangan pelepasan sehingga 20 peratus berbanding pesawat generasi sebelumnya.

787-10 pula boleh memuatkan 336 penumpang dengan jarak operasi 11,730 kilometer, manakala 737-10 sebagai model terbesar dalam keluarga 737 MAX mampu membawa 230 penumpang bagi jarak penerbangan 5,740 kilometer. Kecekapan bahan api serta kos operasi terendah per kerusi menjadikannya pesawat lorong tunggal paling kompetitif dalam kelasnya.

Bagi operasi kargo pula, 777-8 Freighter digambarkan sebagai pesawat kargo berkembar terbesar dan paling berupaya di dunia, dengan kapasiti muatan tinggi serta kos operasi terendah setiap tan. Ia juga mencatat penjimatan bahan api dan pengurangan pelepasan karbon sehingga 30 peratus berbanding pesawat kargo terdahulu.

Dengan tambahan pesanan ini, jumlah pesawat Boeing dalam buku pesanan Korean Air meningkat kepada 175 unit. Ketika ini, syarikat penerbangan itu sudah mengendalikan 108 pesawat Boeing termasuk siri 737, 747, 777 dan 787.

Selain itu, Divisyen Aeroangkasa Korean Air turut memainkan peranan dalam rantaian bekalan global Boeing dengan menghasilkan komponen seperti bahagian sayap khas 787 Dreamliner serta komponen untuk pesawat siri 737 MAX, 767 dan 777.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia sebelum ini turut mengesahkan pembelian 30 pesawat Boeing baharu sebagai sebahagian daripada fasa kedua pembaharuan armada Malaysia Airlines bagi mengantikan pesawat yang sudah berusia purata 14 tahun.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan, keputusan itu dibuat atas asas pertimbangan komersial dan keperluan operasi jangka panjang syarikat penerbangan negara, serta tidak mempunyai kaitan dengan rundingan tarif Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kadar dikurangkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

#Boeing #airtimes #aset #KoreanAir

Related Articles

Leave a Reply