RIYADH, 18 SEPT – Arab Saudi dan Pakistan memeterai Strategic Mutual Defense Agreement bagi memperkukuh kerjasama pertahanan yang telah terjalin hampir 8 dekad.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, perjanjian itu bertujuan meningkatkan kerjasama ketenteraan selain memperkukuh pencegahan bersama terhadap sebarang bentuk pencerobohan.
Ia turut menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap salah sebuah negara akan dianggap sebagai serangan ke atas kedua-duanya.
“Perjanjian ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh keselamatan serta mencapai keamanan di rantau ini dan di peringkat global,
“Ia juga bertujuan memperluas kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara dan memperkukuh pencegahan bersama terhadap sebarang bentuk pencerobohan,
“Perjanjian itu turut menetapkan bahawa sebarang pencerobohan terhadap salah satu negara akan dianggap sebagai pencerobohan terhadap kedua-duanya,” menurut kenyataan berkenaan pada Rabu.
Perjanjian bersejarah itu ditandatangani semasa lawatan negara Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif ke Riyadh atas jemputan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud.
Selain itu, seorang pegawai kanan Arab Saudi menjelaskan kepada Reuters, perjanjian ini merupakan hasil rundingan berpanjangan dan bukan tindak balas terhadap mana-mana negara atau konflik tertentu.
Perjanjian pertahanan ini sebaliknya dilihat sebagai langkah menginstitusikan kerjasama ketenteraan yang sudah lama terjalin. Malah ujar beliau, hubungan negaranya dengan India yang berkonflik dengan Pakistan – kekal kukuh.
“Perjanjian ini adalah kemuncak perbincangan sejak bertahun-tahun, bukan reaksi terhadap mana-mana negara atau peristiwa tertentu,
“Hubungan kami dengan India pula kini lebih baik berbanding sebelumnya. Kami akan terus memperkukuh hubungan ini dan menyumbang kepada keamanan serantau dalam apa jua keadaan,” jelasnya.
Sementara itu, perjanjian Arab Saudi-Pakistan ini turut disifatkan sebagai pakatan pertahanan menyeluruh yang merangkumi semua keupayaan ketenteraan, termasuk kerjasama strategik dalam bidang keselamatan.
Sebagai latar, hubungan Riyadh-Islamabad telah lama diperkukuh melalui kerjasama ekonomi, politik dan keselamatan.
Pakistan sering menerima sokongan kewangan daripada Arab Saudi ketika berdepan krisis ekonomi, manakala Riyadh pula melihat Islamabad sebagai sekutu penting dalam menyeimbangi dinamik keselamatan Asia Selatan dan Teluk.
Malah, sejak 1967 seramai 8,255 anggota tentera Arab Saudi telah menjalani latihan di akademi tentera Pakistan, menjadikan aspek pertahanan sebagai salah satu tonggak utama hubungan kedua-dua negara. -airtimes.my
#Kerjasama #pertahanan #ArabSaudi #Pakistan #keselamatan #airtimes






