Ancaman terhadap sesebuah negara hari ini segelintirnya tidak lagi datang dalam bentuk letupan atau serangan bersenjata.
Sebaliknya, ia hadir dalam bentuk naratif halus yang meresap ke dalam minda rakyat yang disebarkan oleh pihak-pihak yang bersembunyi di sebalik wajah biasa.
Tanpa perlu menembak sebutir peluru pun, mereka mampu mencetuskan kekeliruan, perpecahan dan ketidakstabilan dari dalam negara.
Inilah wajah baru ancaman moden yang dianggap licik, senyap dan sukar dikesan.
Dalam dunia yang sering dihiasi dengan propaganda dan permainan kuasa, terdapat satu kelompok yang bergerak tanpa memakai seragam tentera, tidak membawa senjata dan tidak berbaris di medan perang.
Akan tetapi kumpulan ini mampu mengganggu kestabilan sesebuah negara hingga ke akar umbi.
Golongan “Fifth Column”, ejen dalam senyap yang kini menjadi cabaran keselamatan nasional yang paling sukar dikenalpasti.’
Istilah “Fifth Column” muncul semasa Perang Saudara Sepanyol sekitar tahun 1936 apabila Jeneral Emilio Mola menyebut bahawa beliau mempunyai empat kolum tentera yang menyerang kota Madrid dari luar, dan satu lagi kolum kelima berada di dalam kota itu sendiri.
Kolum kelima ini bukanlah tentera bersenjata, tetapi terdiri daripada individu yang kelihatan seperti rakyat biasa, namun diam-diam menyokong propaganda musuh.
Kumpulan ini menyusup masuk ke dalam masyarakat untuk melemahkan pertahanan dari dalam melalui propaganda, sabotaj dan pengkhianatan.
Kalau dahulu, Fifth Column mungkin wujud dalam bentuk fizikal, namun hari ini mereka jauh lebih canggih.
Mereka tidak perlu menjatuhkan bom atau menembak peluru.
Cukup hanya dengan menyebarkan naratif yang memecah belahkan masyarakat, menanam rasa curiga terhadap institusi negara, atau memutar belit fakta melalui platform digital.
Dunia kini menyaksikan satu bentuk peperangan baharu iaitu perang maklumat.
Dalam peperangan ini, Fifth Column menjadi senjata paling senyap tapi berbahaya.
Bayangkan, seorang warganegara yang aktif di media sosial mula menyebarkan teori konspirasi kononnya pasukan keselamatan negara tidak boleh dipercayai.
Atau seorang pensyarah yang tanpa segan silu menyemai ideologi asing yang bertentangan dengan asas negara dalam bilik kuliahnya.
Mungkin juga seorang tokoh masyarakat yang memainkan sentimen perkauman dan memecah belahkan perpaduan.
Semua ini bukan lagi sekadar perbezaan pendapat tetapi boleh menjadi elemen subversif jika disulami dengan niat untuk melemahkan negara.
Apa yang membimbangkan ialah Fifth Column ini selalunya tidak datang dengan wajah yang mencurigakan.
Mereka mungkin kelihatan patriotik, berpelajaran, malah dipercayai oleh orang ramai.
Tetapi di sebalik kata-kata manis dan hujah bernas mereka, tersembunyi agenda yang menyokong musuh dari luar.
Lebih memburukkan keadaan, dalam dunia yang mengagungkan kebebasan bersuara, sebarang usaha untuk mengekang kegiatan subversif ini mudah dituduh sebagai menindas.
Fifth Column sering berlindung di balik hujah hak asasi, sedangkan apa yang mereka lakukan boleh menghancurkan asas kestabilan negara.
Negara seperti Singapura telah menunjukkan contoh tegas dengan memperkenalkan undang-undang seperti Akta Pencegahan Campur Tangan Asing (FICA) yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk bertindak ke atas cubaan pengaruh asing.
Untuk rekod, Singapura menggunakan FICA buat kali pertama pada tahun lalu apabila mengarahkan lima platform media sosial, termasuk X (sebelumnya Twitter), Facebook, Instagram, YouTube, dan TikTok untuk menyekat 95 akaun yang dikaitkan dengan ahli perniagaan China, Guo Wengui.
Akaun-akaun ini didakwa menyebarkan naratif palsu mengenai pemilihan kepimpinan Singapura, yang dianggap sebagai ancaman kepada kedaulatan dan keharmonian sosial negara.
Justeru itu, Malaysia juga perlu mengikuti langkah yang sama bagi melindungi kedaulatan negara dalam masa sama bukan untuk menyekat hak kebebasan bersuara.
Namun, undang-undang dan perisikan semata-mata tidak cukup, masyarakat perlu menjadi antara barisan hadapan pertahanan negara.
Literasi media, pemikiran kritikal dan keupayaan mengenal pasti manipulasi maklumat perlu diterapkan dalam pendidikan sejak bangku sekolah bagi melahirkan rakyat yang bukan sahaja celik maklumat, tetapi juga celik keselamatan.
Dalam landskap geopolitik yang semakin kompleks dan penuh dengan persaingan kuasa besar, Malaysia tidak boleh leka.
Ancaman bukan lagi hanya datang dalam bentuk jet pejuang atau kapal selam musuh, tetapi boleh menyusup dalam bentuk tweet, video Tiktok atau artikel palsu yang disalin dari luar negara.
Fifth Column adalah wajah baru kepada musuh yang memilih untuk tidak menyerang dari luar, tetapi merosakkan dari dalam.
Mereka mungkin jiran kita, rakan sekerja, atau individu yang kita ikuti di media sosial. Justeru, kewaspadaan adalah benteng pertama.
Akhirnya untuk mempertahankan negara, setiap masyarakat mempunyai peranan dalam memastikan negara kita kekal menjadi sebuah negara yang berdaulat. -airtimes.my
#Keselamatannasional #FifthColumn #Ancamandalaman #EjenSenyap #Kedaulatannegara #Malaysia #airtimes