Laluan perkapalan merupakan antara aspek yang penting tetapi jarang diketengahkan dalam kehidupan kita seharian. Ianya umpama oksigen, hanya disedari apabila tiada atau terganggu.
Laluan sebegini adalah penting dan menjadi nadi kehidupan global semenjak zaman berzaman. Diseluruh dunia, terdapat banyak laluan perkapalan dan tidak kurang juga strategik.
Di hujung barat Laut Merah, tersembunyi sebuah selat sempit iaitu Bab al-Mandeb yang membawa maksud “Pintu Air Mata” dalam bahasa Arab.
Selat ini menghubungkan Lautan Hindi ke Laut Mediterranean melalui Laut Merah dan Terusan Suez, dan merupakan laluan penting bagi kira-kira 12 peratus perdagangan global, termasuk eksport minyak, makanan dan pelbagai barangan komersial dari Asia ke Eropah.
Malah, negara-negara seperti Israel, Mesir, Arab Saudi, Yaman serta kuasa besar perdagangan dunia seperti China, India, Korea Utara dan negara-negara Kesatuan Eropah amat bergantung kepada laluan ini dengan hampir 30 ribu kapal merentasinya saban tahun.
Namun, semakin strategik laluan berkenaan, bermakna semakin ianya terdedah menjadi sasaran kumpulan pemberontak. Difahamkan sejak bermulanya konflik Gaza dan pengumuman sokongan terhadap Israel oleh beberapa kuasa Barat, kumpulan Houthi di Yaman mengisytiharkan serangan ke atas kapal-kapal yang dikaitkan dengan negara atau syarikat yang menyokong Tel Aviv.
Bab al-Mandeb, yang sempit dan mudah dikawal dari kawasan pesisir, menjadi pentas serangan paling mudah bagi kumpulan pemberontak bersenjata itu menyasarkan kapal-kapal dagang.
Maka, pada penghujung 2023, dunia dikejutkan dengan peningkatan serangan secara ketara terhadap kapal-kapal dagang di perairan Laut Merah, khususnya di laluan strategik Bab al-Mandeb.
Antara insiden yang mendapat perhatian antarabangsa ialah serangan ke atas kapal kontena MSC United VIII yang disasarkan peluru berpandu ketika dalam perjalanan menuju Terusan Suez.
Meskipun tiada kematian dilaporkan namun tragedi 26 Disember 2023 berkenaan menjadi titik yang menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan maritim di Laut Merah, dengan kapal pedagang sebagai sasaran utama.
Apakah kepentingan Bab al-Mandeb?
Pelayaran merentas Bab al-Mandeb memendekkan tempoh penghantaran antara Lautan Hindi dan Mediterranean, menjadikan ia pilihan utama berbanding pelayaran mengelilingi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di selatan benua Afrika yang lebih jauh, mahal dan memakan masa.
Serangan berterusan di kawasan ini menyebabkan banyak syarikat perkapalan termasuk gergasi seperti Maersk dan MSC terpaksa mengubah laluan sehingga menyebabkan kosnya meningkat berlipat ganda. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan logistik, malah memberi tekanan kepada rantaian bekalan global, inflasi harga pengguna, serta kestabilan ekonomi Eropah dan Timur Tengah.
Dengan satu serangan, harga insurans kapal melambung, pelabuhan kehilangan kapal dan pasaran terpaksa menanggung bebannya.
Eropah bertindak: Pembentukan Task Force Aspides
Menyedari hakikat ini, Kesatuan Eropah (EU) pada 19 Februari 2024 melancarkan Task Force Aspides, satu misi ketenteraan bersifat defensif untuk melindungi kapal-kapal dagang milik Eropah khususnya dari ancaman bersenjata di Laut Merah dan perairan antarabangsa.
Aspides yang berasal daripada perkataan Yunani bermaksud “perisai” diketuai oleh Greece, dengan penyertaan aktif daripada Perancis, Itali, Belgium, Jerman dan negara EU lain.
Ia berbeza daripada misi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di kawasan sama kerana pendekatannya adalah mengiringi dan mempertahankan kapal dagang, bukannya menyerang sasaran di darat.
Kekuatan pasukan ini termasuk kapal frigat, pesawat pengintip maritim dan sistem pertahanan udara mudah alih. Justeru, selepas beberapa bulan selepas dilaksanakan, lebih 200 kapal dagang telah berjaya diiringi dengan konflik minima melintasi kawasan berisiko tinggi seperti Teluk Aden dan Bab al-Mandeb.
Walaupun serangan seperti peluru berpandu anti kapal, dron dan periuk api daripada kumpulan pemisah masih berlaku, kesannya adalah lebih baik berbanding sebelum penugasan EU task forces Aspides.
Selain itu, kehadiran Task Force Aspides juga dilihat sebagai usaha EU untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan autonominya, selari dengan hasrat membina kebergantungan lebih rendah terhadap Amerika Syarikat dan NATO dalam hal ehwal keselamatan antarabangsa.
Biarpun lebih 21 daripada 27 negara EU adalah ahli NATO, mereka tetap menyimpan cita-cita EU sejak 2016 di bawah dasar ‘Global Strategy for the EU’s Foreign and Security Policy’, untuk bertindak sendiri secara strategik di luar wilayahnya tanpa sokongan NATO atau AS.
Sebelum Aspides, keselamatan pedagang Eropah di kawasan seperti Laut Merah dan Teluk Aden lebih disandarkan kepada operasi Combined Maritime Forces (CMF) ataupun operasi anti-lanun seperti NATO Operation Ocean Shield dan EU NAVFOR Atalanta. Namun operasi ini lebih tertumpu kepada lanun Somalia, bukan ancaman ketenteraan asimetrik dan tidak seimbang seperti Houthi.
Sehubungan itu, EU melihat penubuhan Task Force Aspides sebagai langkah awal untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat dan NATO, memandangkan sekitar 80 hingga 90 peratus keupayaan ketenteraan strategik Eropah di luar sempadannya masih melibatkan campur tangan langsung atau tidak langsung daripada kuasa luar tersebut.
Aspides juga berperanan sebagai pasukan tindak balas pantas maritim (quick reaction naval force) yang diketuai EU secara rasmi. Ia bertujuan memastikan keselamatan dan kebebasan pelayaran di Laut Merah bukan sahaja demi kepentingan Eropah, malah bagi kestabilan ekonomi global secara menyeluruh. -airtimes.my
#TaskForceAspides #LautMerah #EU #Diskusi #Airtimes