Timur Tengah dan Asia kembali mencuri tumpuan dunia apabila Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) mendedahkan laporan terkini perbelanjaan ketenteraannya melonjak pada sepanjang tahun 2024. Menurut laporan tersebut, perbelanjaan ketenteraan di Timur Tengah meningkat 15 peratus kepada $243 bilion, manakala Asia dan Oceania menyaksikan pertumbuhan berterusan yang dipacu terutamanya oleh China, Jepun, dan India.
Ini berikutan, di Timur Tengah, perbelanjaan ketenteraan meningkat sebanyak 9.0% kepada $200 bilion pada tahun sebelumnya iaitu 2023, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi dalam dekad ini.
Peningkatan ini bukan sekadar angka kosong, sebaliknya mencerminkan gelombang ketegangan geopolitik, konflik bersenjata, serta keperluan strategik negara-negara serantau yang kian meningkat.
Antara faktor utama peningkatan ini ialah peperangan yang masih berlarutan di Gaza dan ketegangan yang semakin meruncing antara Israel dan Hezbollah di selatan Lubnan. Israel mencatatkan lonjakan perbelanjaan ketenteraan paling drastik, iaitu sebanyak 65 peratus, mencecah $46.5 bilion pada 2024 dan Ini merupakan kadar kenaikan tahunan tertinggi sejak Perang Enam Hari pada tahun 1967.
Susulan, konflik di Gaza dan ketegangan dengan Hezbollah di Lebanon Selatan memaksa Israel memperuntukkan hampir 8.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) dan menjadikannya negara dengan beban ketenteraan kedua tertinggi di dunia.
Justeru, lonjakan perbelanjaan ini jelas menunjukkan komitmen Israel dalam memperkukuhkan keupayaan ketenteraan untuk menghadapi ancaman pelbagai penjuru.
Sementara itu, negara jiran iaitu Lubnan, walaupun dibelenggu krisis ekonomi yang berpanjangan, meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 58 peratus. Ini mencerminkan keperluan mendesak bagi memperkukuh pertahanan negara dalam menghadapi ketidakstabilan dalaman dan ancaman luaran.
Ketidakstabilan di Timur Tengah tidak terhad kepada satu atau dua negara sahaja, malah faktor geopolitik seperti pengaruh Iran melalui proksi bersenjata di seluruh rantau ini turut menjadi pendorong utama kepada kenaikan perbelanjaan ketenteraan.
Walaupun Iran sendiri berdepan sekatan ekonimi yang menyebabkan perbelanjaan ketenteraannya menurun sebanyak 10 peratus yang mengekang keupayaan fiskalnya, penglibatan Tehran dalam konflik serantau tetap membimbangkan banyak negara jiran.
Negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai kuasa serantau dan lain-lain melihat keperluan untuk memperkuatkan pertahanan mereka dan mengekalkan kedudukan sebagai pembelanja terbesar di Timur Tengah dengan $80.3 bilion bagi menangkis pengaruh Iran dan memastikan keselamatan nasional, walaupun peningkatannya hanya sederhana pada kadar 1.5 peratus
Secara tidak langsung, Ini menunjukkan bahawa bagi banyak negara di rantau ini, mengekalkan keupayaan ketenteraan adalah keutamaan berterusan meskipun berdepan tekanan fiskal.
Namun, Kekangan ekonomi, termasuk kesan pandemik, kejatuhan harga minyak dan sekatan antarabangsa mengakibatkan sebahagian negara di Timur Tengah tidak dapat meningkatkan perbelanjaan mereka walaupun berdepan ancaman keselamatan.
Dalam konteks ini, keutamaan strategik memainkan peranan penting di mana negara-negara melihat peluang untuk memperkukuhkan kedudukan serantau mereka, seperti Israel meningkatkan pelaburan belanjawannya dalam teknologi ketenteraan canggih seperti sistem pertahanan peluru berpandu, dron tempur dan peperangan siber menjadi keutamaan baharu.
Justeru, peningkatan ketara dalam perbelanjaan ketenteraan Timur Tengah membawa implikasi mendalam terhadap kestabilan serantau. Kitaran perbelanjaan tinggi berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata yang lebih agresif, meningkatkan risiko konflik berskala lebih besar.
Di samping, kebergantungan kepada perbelanjaan ketenteraan yang tinggi, dalam keadaan ekonomi yang rapuh, juga mampu menghakis pelaburan dalam sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur. Ini boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial jangka panjang yang sukar dikawal.
Namun, buat masa ini, keutamaan kebanyakan kerajaan di rantau ini jelas mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan geopolitik mereka dalam landskap yang kian bergolak.
Dalam pada itu, di Asia pula perbelanjaan ketenteraannya yang melonjak sebahagian besarnya didorong oleh persaingan kuasa besar dan ketegangan geopolitik.
China, sebagai negara pembelanja kedua terbesar dunia, meningkatkan perbelanjaannya sebanyak 7 peratus kepada $314 bilion yang menandakan tiga dekad pertumbuhan berturut-turut. Hal ini, China mengambil kira untuk 50 peratus daripada semua perbelanjaan ketenteraan di Asia dan Oceania, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memodenkan angkatan bersenjata dan mengembangkan keupayaan siber serta senjata nuklear.
Namun, kebangkitan ketenteraan China ini mendorong tindak balas daripada jiran-jirannya seperti Jepun, yang merekodkan peningkatan terbesar sejak 1952 iaitu 21 peratus yang berjumlah $55.3 bilion dalam perbelanjaan ketenteraannya.
Maka, perubahan ini menunjukkan peralihan dasar keselamatan Jepun yang lebih proaktif dalam menghadapi ancaman dari Korea Utara dan China.
Pada masa sama, sejajar dengan dasar mempertahankan diri dan usaha bagi meningkatkan kerjasama keselamatan dengan sekutu seperti Amerika Syarikat (AS), Taiwan yang juga berdepan dengan ancaman ketenteraan berterusan daripada China, turut meningkatkan perbelanjaan dalam ketenteraannya kepada $16.5 bilion.
Manakala, India di tengah-tengah ketegangan berterusan dengan China di sempadan Himalaya, turut tidak ketinggalan untuk menaikkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 1.6 peratus kepada $86.1 bilion, dengan meneruskan pelaburan besar dalam pertahanan darat, laut dan udara.
Namun begitu, di beberapa negara Asia lain, lonjakan perbelanjaan ketenteraan adalah berpunca daripada ketidakstabilan dalaman. Myanmar mencatatkan peningkatan 66 peratus dalam perbelanjaan ketenteraan dan menjadi kadar tertinggi di Asia akibat konflik dalaman yang semakin meruncing
Bagaimanapun, peningkatan pelaburan dalam teknologi pertahanan seperti dron, sistem pertahanan peluru berpandu dan senjata hipersonik yang akan mencetuskan perlumbaan senjata baharu di rantau Asia Pasifik mengundang kebimbangan. Hal Ini, ditambah pula dengan ketidaktentuan berhubung Laut China Selatan dan ketegangan di Semenanjung Korea.
Peningkatan perbelanjaan ketenteraan di Timur Tengah dan Asia sebanyak 15 peratus pada 2024 bukan fenomena yang berlaku dalam vakum, namun ia adalah hasil gabungan faktor kompleks, seperti konflik bersenjata, persaingan geopolitik, ancaman serantau, kestabilan politik dalaman, dan pertimbangan strategik ekonomi.
Apa yang jelas, dapat dilihat corak keselamatan kedua-dua rantau ini semakin berubah, dan pelaburan besar dalam ketenteraan mencerminkan usaha negara-negara tersebut dalam memastikan kelangsungan kedaulatan, keselamatan, dan pengaruh masing-masing dalam dunia yang kian tidak menentu ketika ini.
Namun, di sebalik usaha memperkukuh ketenteraan, cabaran sebenar ialah mengelakkan perlumbaan senjata yang berpotensi membawa kepada konflik terbuka yang realitinya dunia tidak mampu tanggung lagi. -airtimes.my
#AirTimes #Ketenteraan #TimurTengah #Asia