WELLINGTON, 5 MEI – Kerajaan New Zealand mengumumkan rancangan pembelian helikopter maritim baharu bagi menggantikan armada SH-2G(I) Seasprite yang telah lama berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF).
Sebanyak NZ$2 bilion (RM5.6 bilion) diperuntukkan bagi tujuan tersebut.
Pengumuman ini menandakan fasa penting dalam usaha negara itu memperkukuh keupayaan pertahanan maritimnya.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Judith Collins dalam satu kenyataan rasmi semalam, yang menekankan komitmen berterusan Wellington terhadap keselamatan antarabangsa dan keperluan untuk memperbaharui aset-aset ketenteraan yang semakin usang.
“Kami akan menggantikan armada helikopter maritim Seasprite dengan platform baharu yang mampu beroperasi dalam persekitaran maritim moden serta menyokong kapal-kapal Tentera Laut Diraja New Zealand (RNZN) di perairan dalam dan luar negara,” kata Collins.
Tambahnya lagi, perolehan baharu ini akan memastikan RNZAF memiliki keupayaan udara yang mampu menyokong operasi dan misi gabungan di Indo-Pasifik dan seterusnya.
Walaupun perincian jenis helikopter baharu yang akan dibeli masih belum diumumkan, Kementerian Pertahanan New Zealand menjangkakan perolehan akan dimuktamadkan menjelang 2027, sejajar dengan perancangan dalam Kertas Putih Pertahanan 2015.
Pada ketika ini, negara Kiwi itu mengoperasikan 8 buah SH-2G(I) Super Seasprite dan 2 lagi untuk tujuan alat ganti.
New Zealand turut mengoperasikan 8 buah NH90 dan 5 AW109 tetapi kedua-dua helikopter ini digunakan bagi tujuan pengangkutan serta utiliti. – airtimes.my
#AirTimes #Global #NewZealand #FPDA