Dunia menyaksikan lonjakan besar dalam perbelanjaan ketenteraan apabila laporan terbaharu mendedahkan perbelanjaan global mencecah rekod sebanyak AS$2.72 trilion pada tahun lalu.
Laporan perbelanjaan ketenteraan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 9.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kenaikan ini menjadi yang tertinggi sejak era perang dingin, dengan lebih 100 negara meningkatkan bajet ketenteraan mereka walaupun dunia sedang menghadapi ketidaktentuan dalam ekonomi global.
Selain itu, banyak negara sanggup mengorbankan perbelanjaan sektor lain seperti kesihatan dan pendidikan demi memperkukuh keupayaan pertahanan masing-masing.
Negara-negara eropah dan timur tengah merupakan antara penyumbang terbesar terhadap peningkatan perbelanjaan ketenteraan dunia pada 2024.
Di Eropah sahaja, termasuk Rusia, perbelanjaan ketenteraan telah melonjak sebanyak 17 peratus.
Faktor utama yang mendorong lonjakan ini termasuklah ketegangan berterusan akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta ketidakpastian mengenai komitmen Amerika Syarikat (AS) terhadap keselamatan Eropah melalui pakatan North Atlantic Treaty Organization (NATO).
Pada tahun 2024, jumlah keseluruhan perbelanjaan ketenteraan oleh negara-negara anggota NATO dianggarkan sebanyak AS$1.506 trilion, yang mewakili kira-kira 55 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan global.
Daripada jumlah ini, AS yang juga anggota NATO telah menyumbang sekitar AS$997 bilion iaitu bersamaan dengan 64 peratus, manakala negara-negara Eropah dan Kanada menyumbang sebanyak 36 peratus.
Selain AS, negara-negara NATO seperti United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, dan Poland juga menyumbang jumlah besar kepada keseluruhan bajet.
Untuk rekod, lebih 22 daripada 32 negara anggota NATO mencapai atau melebihi sasaran perbelanjaan pertahanan sebanyak 2 peratus daripada KDNK mereka pada tahun 2024, berbanding hanya 3 negara pada tahun 2014.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022 lalu telah mencetuskan kebimbangan keselamatan yang mendalam dalam kalangan negara-negara NATO.
Sebagai tindak balas, semua anggota NATO meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka pada tahun 2024, dengan jumlah keseluruhan mencecah $1.506 trilion daripada perbelanjaan ketenteraan global.
Peningkatan ini bertujuan untuk memperkukuh pertahanan dan keupayaan ketenteraan bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin meningkat.
Namun bagi tahun 2025, NATO telah menetapkan had bajet ketenteraan bersama (common-funded military budget) sebanyak €2.317 bilion, selaras dengan keputusan yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Madrid.
Perbelanjaan ketenteraan yang meningkat ini mencerminkan tindak balas terhadap ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, terutamanya disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan perubahan dalam dasar keselamatan AS.
Perubahan dasar keselamatan AS di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump yang menekankan keperluan bagi negara-negara NATO juga merupakan faktor utama peningkatan perbelanjaan pertahanan mereka.
Trump mencadangkan agar semua anggota NATO membelanjakan sehingga 5 peratus daripada KDNK mereka untuk pertahanan, jauh melebihi sasaran semasa sebanyak 2 peratus.
Tekanan ini mendorong negara-negara Eropah dan Kanada untuk meningkatkan bajet ketenteraan mereka bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS.
Seperti yang dijangka, AS terus menjadi penyumbang utama dalam perbelanjaan ketenteraan global iaitu sebanyak 37 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan dunia.
Peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding tahun sebelum ini menunjukkan komitmen AS dalam mengekalkan dominasi ketenteraan global, terutamanya dalam menghadapi cabaran dari Rusia dan China.
Walaupun peningkatan ini dilihat perlu bagi menjamin keselamatan, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) memberi amaran bahawa keutamaan yang terlalu tinggi terhadap ketenteraan boleh membawa kesan negatif.
Menurut SIPRI, apabila negara-negara lebih banyak menyalurkan sumber kepada sektor pertahanan, ia secara tidak langsung akan mengorbankan peruntukan untuk sektor-sektor penting lain seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial.
Dalam jangka panjang, ketidakseimbangan ini boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi global.
Peningkatan ketara dalam perbelanjaan ketenteraan dunia pada tahun 2024 menunjukkan dunia berada dalam era persaingan kuasa yang sengit.
NATO, diketuai oleh AS kekal sebagai pemain utama dalam landskap keselamatan antarabangsa. -airtimes.my
#bajetketenteraanglobal #NATO #AS #peperangan#Rusia #Ukraine #pertahanan #keselamatan #airtimes