LUMUT, 4 MEI – Pembinaan Pusat Latihan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sitiawan merupakan satu keperluan strategik yang dibuat oleh kerajaan atas kepentingan keselamatan negara.
Pemilihan lokasi itu juga diyakini atas pertimbangan dan kajian yang teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan.
Ketua Armada Bahagian Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan adalah penting demi kepentingan negara.
Menurut beliau, rancangan pembinaan itu juga telah dibuat Kementerian Pertahanan (MINDEF) sejak tahun 1990-an pada masa Sitiawan belum lagi membangun seperti hari ini.

Pusat Latihan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia penting untuk meneruskan legasi serta peranan mereka dalam mempertahankan negara. Foto: TLDM
“Saya percaya pihak MINDEF telah membuat kajian yang teliti sebelum merancang ditempatkan di lokasi strategik untuk TLDM menjalani latihan.
“Kebimbangan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong bahawa boleh berlaku kemalangan (udara) seperti nahas di Pangkalan Lumut umpama tidak memberi kepercayaan kepada TLDM.
“Beliau tidak seharusnya menimbulkan situasi membimbangkan kepada rakyat Sitiawan sehingga menakutkan-nakutkan supaya membuat bantahan cadangan dan tanah tersebut ditukar ke tempat lain.
“Saya menyokong perancangan yang dibuat oleh TLDM adalah muktamad dan untuk menjaga keamanan negara Malaysia yang harmoni,
“Armada Lumut tidak bersetuju dengan bantahan yang dibuat oleh Jason yang mengusarkan rakyat setempat demi kepentingan politik,” ujarnya.

Rancangan pembinaan Pusat Latihan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sitiawan telah pun dirancang pada era 1990-an.
Media semalam melaporkan pemimpin DAP ini meminta Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan dibina di tempat lain atas alasan boleh mengundang isu keselamatan kepada penduduk.
ADUN Astaka ini menyuarakan perkara itu semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh minggu lalu.
Video perbahasan tersebut dimuat naik pada laman Facebook beliau yang menggunakan nama sama.
Tegas Syed Alif Rikiman, alasan bahawa kewujudan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan boleh mencetuskan isu kacau ganggu dan mengundang bahaya dilihat sebagai tidak berasas.
Ini kerana katanya, jika alasan sedemikian bermakna semua lapangan terbang yang ada di negara ini perlu dipindahkan ke tempat lain demi keselamatan penduduk.

Ketua Armada Bahagian Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan adalah penting demi kepentingan negara.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Azlan Shah, Ipoh misalnya dikelilingi kawasan perumahan yang mana pesawat turun naik setiap hari.
“Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara milik PDRM juga letaknya bersebelahan, setiap masa helikopter polis menjalani latihan di sini.
“Jika alasan keselamatan, beliau sebagai ahli politik kerajaan boleh cadangkan kepada kerajaan negeri supaya mohon lokasi LTSAS ini diubah dan dibina jauh-jauh daripada kediaman penduduk,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM