KELANTAN, 10 MAC – Pelaksanaan kawalan ketat di sempadan Thailand-Malaysia sejak 1 Disember lalu bukan sahaja berjaya mengurangkan jenayah rentas sempadan di Kelantan, malah turut memberi kesan terhadap jumlah pasangan Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand.
Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, jumlah pasangan Malaysia yang datang untuk berkahwin di sana berkurangan sehingga 40 peratus selepas larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram dikuatkuasakan.
“Kebanyakan pasangan Malaysia yang datang ke sini adalah untuk berpoligami kerana di Malaysia, mereka perlu mendapatkan persetujuan isteri pertama. Bagaimanapun, sejak pangkalan haram di Sungai Golok ditutup, jumlah pasangan yang datang berkahwin menurun berbanding sebelum ini.
“Jika sebelum ini sekitar lapan hingga 12 pasangan sehari, kini jumlahnya hanya empat hingga sembilan pasangan,” katanya lapor media tempatan.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, turut mengesahkan, kawalan ketat di sepanjang Sungai Golok telah berjaya mengurangkan jenayah rentas sempadan sebanyak 90 peratus bagi tempoh 2 bulan berturut-turut.
Antara jenayah yang menunjukkan penurunan ketara termasuk penyeludupan dadah, barangan kawalan seludup serta pemerdagangan manusia.
“Penurunan jenayah rentas sempadan di Kelantan buat masa ini sudah cukup besar, meskipun masih berbaki 10 peratus kerana faktor geografi Sungai Golok yang panjang sejauh 136 kilometer,” katanya.
Menurut beliau, penguatkuasaan ketat ini bukan sahaja mengekang pelbagai kegiatan jenayah tetapi juga menyebabkan penduduk di sempadan lebih mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.
Selain kesan positif terhadap keselamatan negara, penutupan pangkalan haram ini turut menyumbang kepada perubahan trend perkahwinan rentas sempadan yang sebelum ini mengambil jalan pintas dengan ke Selatan Thailand untuk bernikah.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, proses akad nikah di Selatan Thailand tetap berlangsung seperti biasa pada bulan ramadan dan turut menerima kunjungan pasangan di bawah umur berusia seawal 14 tahun.
“Ada kes di mana pasangan yang datang membabitkan perempuan berusia 14 tahun atau 16 tahun, namun yang lelaki sudah dewasa,” tambahnya.
Pasangan berkenaan datang ke pejabat terbabit berdua dan memohon dinikahkan, dengan alasan diberikan tidak dapat berkahwin di Malaysia berikutan tidak mendapat izin wali.
Malah, ada juga pasangan bawah umur dari Malaysia yang datang bersama wali mereka memberi alasan di Malaysia perlu melalui banyak proses sekiranya perkahwinan membabitkan individu di bawah umur. -airtimes.my
#Kahwinmuda #Rentassempadan #Thailand #jenayah #keselamatan #Malaysia #AirTimes