Eks Jungle Falcon
#Pertahanan: Kali pertama saya lihat sendiri jumlah sebenar dan keupayaan aset mekanize – Agong
KUANTAN, 18 JUL – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga Baginda kepada Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (4 Bgd Mek) atas pencapaian mereka dalam Eksesais Jungle Falcon yang diadakan baru-baru ini.
“Saya begitu bangga dengan pencapaian dan terima kasih kepada 4 Bgd (Mek),
“Inilah kali pertama saya dapat dengan secara mata sendiri melihat berapa banyak aset-aset
dalam Briged Mekanize ini telah menunjuk keupayaan yang sebenarnya pada hari ini,” titah Al Sultan Abdullah selepas menyaksikan Demonstrasi Serangan Eks Jungle Falcon, pada Ahad lalu.
Baginda yang merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bertitah agar latihan bilateral Tentera Darat Malaysia dan UAE Land Forces dapat mengekalkan hubungan kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah menyampaikan titah Baginda kepada para peserta Eks Jungle Falcon selepas menyaksikan demonstrasi serangan mekanize Tentera Darat Malaysia-UAE Land Forces. Foto: Air Times/M. Daim
Al Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar latihan ini akan memberi satu kenangan yang berharga dan boleh dibanggakan atas pelaksanaan yang cukup baik.
Terdahulu, Al Sultan Abdullah berkenan untuk berangkat menyaksikan demonstrasi serangan dan majlis penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di Felda Panching Selatan, Kuantan.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Eks Jungle Falcon merupakan kali pertama diadakan di antara Tentera Darat dan UAELF.
Latihan ini berlangsung selama 11 hari semenjak 6 Julai lalu dan memberikan fokus peperangan hutan serta operasi mekanize.
Serangan akhir yang dilaksanakan pada pagi Ahad lalu menyaksikan penggunaan elemen kenderaan tempur berperisai, kereta kebal dan juga infantri dalam strategi untuk merampas kawasan bukityang dikuasai oleh musuh. – airtimes.my
#Pertahanan: Tentera Darat Malaysia, UAELF gempur dan musnahkan cengkaman musuh di Pahang
KUANTAN, 16 JUL – Deruman jet pejuang, disusuli bedilan artileri dan bunyi tembakan memecah keheningan pagi di kawasan Felda Sg. Panching Selatan, Kuantan yang dikuasai oleh pasukan musuh.
Dua buah helikopter tempur ringan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) melancarkan serangan roket dan mesingan terhadap kedudukan pasukan yang menguasai beberapa bukit di ladang kelapa sawit.
Kehadiran MD-530G dan AgustaWestland 109LOH disambut dengan tembakan balas oleh pasukan infantri musuh yang dikejutkan dengan kedua-dua aset PUTD.

Tentera musuh cuba menembak jatuh helikopter MD-530G. Foto: Air Times/M Daim
Tatkala lawan mereka tertumpu ke arah ketiga-tiga aset udara Tentera Darat Malaysia, kenderaan tempur berperisai AV8 Gempita dari Kor Armor Diraja (KAD) mula melepaskan tembakan ke arah sasaran mereka dari kawasan kanan musuh.
Tidak tahan dengan bedilan mengejut oleh elemen KAD, kenderaan berperisai musuh mula berundur secara perlahan-lahan dari kedudukan mereka bagi mencari perlindungan.
Pasukan musuh mula panik kerana mereka mula kehilangan elemen armor mereka.

AV8 Gempita mengintai peluang untuk memusnahkan kedudukan armor musuh dari posisi rusuk barisan hadapan.
Puluhan kenderaan tempur berperisai Adnan dari Batalion ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) mula menampakkan kehadiran mereka dan menuju ke arah barisan hadapan musuh.
Kubu musuh mula melepaskan tembakan raifal dan mesingan secara bertalu-talu ke arah deretan mekanize Tentera Darat.
Jeritan “Musuh! Musuh! Musuh!” mula kedengaran dari kawasan kubu. Ini menunjukkan elemen kenderaan pengangkut berperisai Adnan berjaya menembusi garisan lawan.

Askar musuh bertungkus lumus cuba mengekang kemaraan elemen mekanize Tentera Darat Malaysia – UAE Land Forces. Foto: Air Times/M Daim
Tembakan dilepaskan oleh kenderaan pengangkut berperisai ke arah kubu musuh. Di sebalik tembakan tersebut, elemen infantri Tentera Darat Malaysia dan UAE Land Forces (UAELF) mula keluar dari kenderaan masing-masing.
Terkejut dengan kehadiran infantri lawan mereka yang terlalu ramai. Komander pasukan musuh mengarahkan askar mereka berundur.

Tentera Darat Malaysia dan UAELF berjaya merampas bukit dari pegangan musuh. Foto: Air Times/M. Daim
Jeritan “Undur! Undur!” mula sayup-sayup kedengaran. Satu per satu bukit yang dikuasai mereka jatuh ke tangan elemen mekanise Tentera Darat-UAELF.
Musuh mula langkah seribu dengan tergesa-gesa dengan menggunakan kenderaan berperisai mereka yang terselamat dari serangan armor dan udara.
Mereka berundur ke kedudukan terakhir yang mempunyai kekuatan pertahanan yang dilihat lebih kukuh.
Ketika merasakan mereka selamat dari ditawan, PT-91M Pendekar mula bergerak menyusuri jalan utama. Mereka melepaskan tembakan meriam utama 125mm sambil bergerak ke arah sasaran. Satu per satu bedilan Pendekar merobek elemen musuh.

PT-91M Pendekar hadir merobek garisan pertahanan dan elemen armor musuh. Foto: Air Times/M Daim
Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, ketika mereka dibedil oleh ketumbukan armor Tentera Darat, kedudukan akhir musuh mula digegarkan dengan kehadiran jet pejuang F/A-18D Hornet dari 18 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Serangan udara oleh TUDM disusuli dengan tembakan oleh pelbagai elemen Tentera Darat-UAELF kemudiannya menutup penguasaan musuh di Felda Sungai Panching Selatan.

Eks Jungle Falcon merupakan latihan bilateral Tentera Darat Malaysia dan UAELF dalam melaksanakan operasi mekanize. Foto; Air Times/ M Daim
Itu merupakan demonstrasi serangan dan kemuncak Eksesais Jungle Falcon di antara Tentera Darat Malaysia dengan UAELF.
Eksesais ini mula dilaksanakan oleh kedua-dua pasukan tentera semenjak 4 Julai lalu.
Serangan akhir ini disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan untuk mencemar duli untuk menyaksikan acara tersebut.
Turut hadir ke demonstrasi ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Menteri Pertahanan, Panglima Tentera Darat, Ketua Staf dan Komander UAELF. – airtimes.my
#Pertahanan: Tentera Darat Malaysia dan UAE lancar serangan mekanize terhadap kubu musuh Ahad ini
KUALA LUMPUR, 15 JUL – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan United Arab Emirates Land Forces (UAELF) akan melaksanakan serangan mekanize terhadap sasaran di Pahang, Ahad ini.
Serangan tersebut merupakan kemuncak Eksesais Jungle Falcon yang pertama kali diadakan di antara kedua-dua negara.
TDM dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut merupakan kemuncak eksesais yang diadakan semenjak 4 Julai lalu.

Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman telah menerima kunjungan hormat Komander UAELF, Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi di Markas Tentera Darat, Wisma Pertahanan, semalam. Foto: Tentera Darat Malaysia
“Eksesais Jungle Falcon ini adalah merupakan kali pertama diadakan di antara TDM dan UAELF di dalam suasana iklim dan muka bumi Malaysia,
“Tujuan Eksesais ini diadakan adalah bagi mempertingkatkan keupayaan serta daya saing operasi konvensional gabungan kenderaan tempur berperisai dan infantri tentera dara kedua-dua negara,
“Eksesais ini melibatkan penugasan anggota dan aset di bawah 4 Briged (Mekanize),” kata kenyataan itu.

Komander UAELF, Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi tiba di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi bersempena Eks Jungle Falcon. Foto: Tentera Darat Malaysia
Semalam, Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman telah menerima kunjungan hormat Komander UAELF, Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi di Markas Tentera Darat, Wisma Pertahanan.
Menurut TDM, kunjungan ini adalah bersempena dengan lawatan rasmi Komander UAELF ke Malaysia bagi Eks Jungle Falcon.
“Lawatan ini juga bertujuan mengukuhkan lagi hubungan bilateral tentera darat antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu. – airtimes.my
#Pertahanan: Eks Jungle Falcon – Tentera UAE pertama kali latih perang di kawasan hutan Malaysia
KUANTAN, 6 JULAI – Tentera Darat Malaysia mula melaksanakan latihan bersama dengan pasukan tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE Land Forces, UAELF) di Pahang, hari ini.
Latihan bersama Eksesais Jungle Falcon merupakan kali pertama diadakan di antara kedua-dua pihak.
Majlis perasmian eksesais telah disempurnakan oleh Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad.

Eks Jungle Falcon merupakan latihan ulung melibatkan Tentera Darat Malaysia dan UAE Land Forces. Foto: Air Times/ Muaz
Menurut, beliau menyatakan latihan bersama antara Tentera Darat dan UAELF adalah bermatlamat untuk mempertingkatkan keupayaan serta daya saling operasi kedua-dua pihak.
“Konsep eksesais ini adalah melibatkan peperangan konvesional terutamanya dari segi operasi mekanize,” katanya.
Menurut Mohd Rafi, eksesais in melibatkan latihan silang di antara kedua-dua pasukan.
Tambahnya, Eks Jungle Falcon platform terbaik bagi pihak Tentera Darat dan UAELF bekongsi pengalaman serta pengetahuan dalam melaksanakan operasi tempur.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad menyempurnakan majlis perasmian Eks Jungle Falcon di Kuantan, hari ini. Foto: Air Times/Muaz
“Eksesais ini akan memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk mempelajari pengalaman dan kemahiran yang baharu,
“Anggota UAELF merasai sendiri pengalaman beroperasi di dalam suasana iklim dan muka bumi Malaysia,
“Tentera Darat pula akan menimba kemahiran serta pengetahuan baharu sepanjang eksesais ini dijalankan,
“Diharapkan eksesais ini akan mempertingkatkan kemahiran dan keupayaan kedua-dua pihak dalam melaksanakan operasi mekanize,” ujar beliau.

Eks Jungle Falcon memberikan fokus kepada operasi tempur mekanize. Foto: Air Times/ Muaz
Panglima 4 Briged (Mek) menambah, beliau berharap agar Eks Jungle Falcon akan diadakan secara tahunan pada masa hadapan.
Mekanize merupakan taktik peperangan yang melibatkan gabungan infantri dan kenderaan tempur berperisai. Kenderaan ini digunakan bagi meningkatkan mobiliti, kuasa tembakan dan juga perlindungan kepada infantri.
Unit mekanize dianggap sebagai salah satu komponen utama dalam dunia ketenteraan moden. Ini memandangkan pasukan sebegini mempunyai kombinasi keupayaan yang membolehkan ia melaksanakan pelbagai operasi di medan pertempuran. – airtimes.my
