Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Tentera Darat Malaysia, UAELF gempur dan musnahkan cengkaman musuh di Pahang

#Pertahanan: Tentera Darat Malaysia, UAELF gempur dan musnahkan cengkaman musuh di Pahang

by M.Daim

KUANTAN, 16 JUL – Deruman jet pejuang, disusuli bedilan artileri dan bunyi tembakan memecah keheningan pagi di kawasan Felda Sg. Panching Selatan, Kuantan yang dikuasai oleh pasukan musuh.

Dua buah helikopter tempur ringan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) melancarkan serangan roket dan mesingan terhadap kedudukan pasukan yang menguasai beberapa bukit di ladang kelapa sawit.

Kehadiran MD-530G dan AgustaWestland 109LOH disambut dengan tembakan balas oleh pasukan infantri musuh yang dikejutkan dengan kedua-dua aset PUTD.

Tentera musuh cuba menembak jatuh helikopter MD-530G. Foto: Air Times/M Daim

Tatkala lawan mereka tertumpu ke arah ketiga-tiga aset udara Tentera Darat Malaysia, kenderaan tempur berperisai AV8 Gempita dari Kor Armor Diraja (KAD) mula melepaskan tembakan ke arah sasaran mereka dari kawasan kanan musuh.

Tidak tahan dengan bedilan mengejut oleh elemen KAD, kenderaan berperisai musuh mula berundur secara perlahan-lahan dari kedudukan mereka bagi mencari perlindungan.

Pasukan musuh mula panik kerana mereka mula kehilangan elemen armor mereka.

AV8 Gempita mengintai peluang untuk memusnahkan kedudukan armor musuh dari posisi rusuk barisan hadapan.

Puluhan kenderaan tempur berperisai Adnan dari Batalion ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) mula menampakkan kehadiran mereka dan menuju ke arah barisan hadapan musuh.

Kubu musuh mula melepaskan tembakan raifal dan mesingan secara bertalu-talu ke arah deretan mekanize Tentera Darat.

Jeritan “Musuh! Musuh! Musuh!” mula kedengaran dari kawasan kubu. Ini menunjukkan elemen kenderaan pengangkut berperisai Adnan berjaya menembusi garisan lawan.

Askar musuh bertungkus lumus cuba mengekang kemaraan elemen mekanize Tentera Darat Malaysia – UAE Land Forces. Foto: Air Times/M Daim

Tembakan dilepaskan oleh kenderaan pengangkut berperisai ke arah kubu musuh. Di sebalik tembakan tersebut, elemen infantri Tentera Darat Malaysia dan UAE Land Forces (UAELF) mula keluar dari kenderaan masing-masing.

Terkejut dengan kehadiran infantri lawan mereka yang terlalu ramai. Komander pasukan musuh mengarahkan askar mereka berundur.

Tentera Darat Malaysia dan UAELF berjaya merampas bukit dari pegangan musuh. Foto: Air Times/M. Daim

Jeritan “Undur! Undur!” mula sayup-sayup kedengaran. Satu per satu bukit yang dikuasai mereka jatuh ke tangan elemen mekanise Tentera Darat-UAELF.

Musuh mula langkah seribu dengan tergesa-gesa dengan menggunakan kenderaan berperisai mereka yang terselamat dari serangan armor dan udara.

Mereka berundur ke kedudukan terakhir yang mempunyai kekuatan pertahanan yang dilihat lebih kukuh.

Ketika merasakan mereka selamat dari ditawan, PT-91M Pendekar mula bergerak menyusuri jalan utama. Mereka melepaskan tembakan meriam utama 125mm sambil bergerak ke arah sasaran. Satu per satu bedilan Pendekar merobek elemen musuh.

PT-91M Pendekar hadir merobek garisan pertahanan dan elemen armor musuh. Foto: Air Times/M Daim

Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, ketika mereka dibedil oleh ketumbukan armor Tentera Darat, kedudukan akhir musuh mula digegarkan dengan kehadiran jet pejuang F/A-18D Hornet dari 18 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Serangan udara oleh TUDM disusuli dengan tembakan oleh pelbagai elemen Tentera Darat-UAELF kemudiannya menutup penguasaan musuh di Felda Sungai Panching Selatan.

Eks Jungle Falcon merupakan latihan bilateral Tentera Darat Malaysia dan UAELF dalam melaksanakan operasi mekanize. Foto; Air Times/ M Daim

Itu merupakan demonstrasi serangan dan kemuncak Eksesais Jungle Falcon di antara Tentera Darat Malaysia dengan UAELF.

Eksesais ini mula dilaksanakan oleh kedua-dua pasukan tentera semenjak 4 Julai lalu.

Serangan akhir ini disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan untuk mencemar duli untuk menyaksikan acara tersebut.

Turut hadir ke demonstrasi ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Menteri Pertahanan, Panglima Tentera Darat, Ketua Staf dan Komander UAELF. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply