Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Mantis tingkat kemahiran, kompetensi ATM hadapi ancaman CBRNe

Eksesais Mantis tingkat kemahiran, kompetensi ATM hadapi ancaman CBRNe

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 20 FEB – Eksesais MANTIS Siri 11/2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang berakhir hari ini berfungsi sebagai paltform pengukuhan kerjasama antara kedua-dua negara.

Eksesais yang bermula pada 20 Januari hingga 23 Februari 2025 ini memberikan tumpuan terhadap Operasi Melawan Keganasan Dalam Situasi Ancaman Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosive (CBRNe) di kawasan pelabuhan dan dermaga kapal.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT), Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid berkata, seramai 22 pegawai dan 114 anggota lain-lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Canadian Special Operations Forces Command (CANSOFCOM) telah menyertai eksesais ini.

“Kerjasama ini telah menggabungkan pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman mereka melalui siri latihan silang yang tersusun serta latihan integrasi pasukan yang memuncak dalam latihan medan berasaskan senario,

“Struktur latihan dua hala ini telah memberi tumpuan kepada memperkasa serta memupuk kemahiran untuk beroperasi terhadap ancaman keselamatan asimetri yang rumit dan tidak menentu yang bukan sahaja dalam kalangan pasukan berbeza tetapi juga bersama agensi awam lain,” katanya pada Khamis.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT), Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang terlibat dalam Eksesais Mantis (Foto: TDM)

Jelasnya lagi, pengalaman kolektif yang diperoleh daripada latihan ini jauh melebihi apa yang dapat dicapai secara individu.

“Ia telah memberikan pendedahan, pengalaman, dan pengajaran yang tidak ternilai, yang akan menjadi platform panduan untuk meningkatkan keupayaan serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan.

“Latihan ini sudah pasti selari dengan aspirasi ATM untuk terus menjadi pasukan yang mantap dan sentiasa bersiap siaga dalam apa jua situasi,” ujarnya.

Selain itu, TDM dalam satu kenyataan berkata, sebagai kemuncak latihan, demonstrasi akhir diadakan untuk memperlihatkan keupayaan dan koordinasi pasukan terlibat dalam menghadapi ancaman musuh yang
dilengkapi persenjataan kimia serta situasi tebusan orang awam.

“Dalam demonstrasi eksesais ini, pasukan penggempur ditugaskan menawan kawasan objektif bagi menggagalkan cubaan musuh memproses dan melepaskan agen kimia saraf menggunakan IED.

Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) ketika melaksanakan demonstrasi melawan keganasan dalam situasi ancaman CBRNe di kawasan pelabuhan (Foto: TDM)

“Antara elemen penting yang dipamerkan dalam demonstrasi ini termasuk demonstrasi menawan musuh, letupan terkawal yang digunakan untuk membuka laluan strategik serta menghapuskan ancaman serta Pemindahan Perubatan Kecemasan (MEDEVAC),” jelasnya.

Latihan ini juga melibatkan penyertaan daripada pelbagai pasukan dalam TDM dan agensi awam seperti 21 Grup Gerak Khas (GGK), Tim CBRNe, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL), Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU), RAJD 3 Div, Jabatan Kimia Malaysia dan STRIDE.

Kejayaan Eksesais MANTIS ini membuktikan bahawa pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap siaga dan berdaya saing bagi memastikan keupayaan pertahanan yang kukuh serta kecekapan dalam menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan. -airtimes.my

#Eksesais #MANTIS2025 #TDM #ATM #CANSOFCOM #ATK #Malaysia #Kanada #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?