KUANTAN, 14 APRIL – Tentera Darat Malaysia (TDM) mula melaksanakan Eksesais Jungle Falcon siri 2/2025 bersama dengan pasukan tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE Land Forces, UAELF) di Kuantan Pahang, hari ini.
Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah berkata, konsep latihan kali ini adalah memfokuskan kepada peperangan konvensional yang memberi penekanan kepada operasi mekanis.
Menurutnya, matlamat utama latihan ini adalah untuk mempertingkatkan kebolehoperasian bersama dan persefahaman melalui prosedur-prosedur standard yang sama, sekaligus meningkatkan keupayaan kita sebagai satu pasukan.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah memberi ucapan perasmian EKS Jungle Falcon Siri 2/2025 di Padang Kawad 12 RAMD (Mek), Kem Daralockwood, Kuantan (Foto: Zulhaizi)
“Latihan ini merupakan manifestasi serta lambang kerjasama dan hubungan ketenteraan erat antara kedua-dua negara yang terus dipupuk dan diperkukuhkan.
“Latihan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Latihan Silang (CTX) dan Latihan Medan (FTX) yang berpotensi menjadi bentuk operasi yang akan dihadapi oleh kedua-dua angkatan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian EKS Jungle Falcon Siri 2/2025 di Padang Kawad 12 RAMD (Mek), Kem Daralockwood, Kuantan pada Isnin.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah bersama Ketua Staf Emirates Brigade UAELF, Kolonel Staf Ateeq Zefna Alwaihi Zefna Alefairi merasmikan Eks Jungle Falcon siri 2/2025 (Foto: Zulhaizi)
Ujarnya lagi, latihan ini turut membuka peluang kepada semua peserta untuk memperoleh pengalaman baharu, kemahiran dan ilmu pengetahuan.
“Para anggota dari UAELF juga berpeluang untuk menjalankan operasi dalam keadaan iklim dan cuaca serta rupa bumi Malaysia, manakala anggota TDM dapat mempelajari teknik dan pendekatan baharu sepanjang latihan ini.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah bersama anggota perbarisan di majlis pembukaan Eksesais Jungle Falcon siri 2/2025 (Foto: Zulhaizi)
“Malah, latihan ini juga akan meningkatkan keupayaan anggota untuk melaksanakan operasi mekanis dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Latihan bilateral yang dilaksanakan mulai 14 hingga 26 April ini akan melibatkan seramai 77 Pegawai dan 766 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari kedua-dua negara.
Latihan kali ini merupakan siri kedua dilaksanakan di negara ini selepas julung kalinya diadakan pada tahun 2023 -airtimes.my
#TenteraDarat #TDM #UAELF #Eksesais #JungleFalcon #Pertahanan #Malaysia #airtimes