Dalam persekitaran keselamatan yang semakin dipacu teknologi, kedaulatan negara tidak lagi boleh diukur hanya melalui jumlah aset senjata yang dibeli daripada syarikat pertahanan luar. Akan tetapi, kedaulatan pertahanan masa depan turut bergantung kepada kemampuan jurutera tempatan, kilang pembuatan negara dan pembangunan perisian yang menghasilkan sistem boleh disokong, diselenggara dan ditambah baik di dalam negara.
Pada 21 Januari 2026, Malaysia meluncurkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai kerangka baharu untuk memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan. Dasar ini membawa mesej bahawa pertahanan negara tidak lagi daripada sekadar bergantung kepada model pembelian, penyelenggaran dan sokongan teknikal luar.
DIPN meletakkan kemandirian industri sebagai sebahagian daripada kedaulatan negara. Ia bukan sekadar dokumen dasar, tetapi satu usaha menyusun semula hubungan antara kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), syarikat tempatan, universiti dan tenaga kerja teknikal. Dalam kerangka ini, industri pertahanan tidak lagi dilihat hanya sebagai bengkel sokongan aset asing, sebaliknya sebagai ekosistem strategik yang mampu membina nilai tambah sendiri.
PPN sebagai langkah awal keupayaan tempatan

Bagi menterjemahkan dasar itu kepada pelaksanaan, tujuh inisiatif Projek Pertahanan Nasional (PPN) digerakkan sebagai langkah awal membina keupayaan tempatan. Antara tumpuan utama ialah projek satelit pertahanan yang dikaitkan dengan usaha mengurus sistem, perisian operasi dan spektrum satelit secara lebih mampan menjelang 2029. Nilai utama projek ini bukan sekadar pemilikan aset, tetapi pengurangan kebergantungan teknikal terhadap pihak luar.
Di samping itu, penerokaan senjata tenaga terarah atau sistem laser turut disebut sebagai usaha memperkukuh keupayaan menangkis ancaman tidak simetri, termasuk dron. Namun, keberkesanan teknologi seperti ini perlu dibaca secara terkawal kerana ia bergantung kepada tahap pembangunan, integrasi sistem, latihan dan keadaan operasi sebenar.
Bagi mobiliti darat, proses koordinasi dilaksanakan untuk membangunkan keupayaan pemasangan dan pembangunan casis beroda berketahanan tinggi menerusi perkongsian teknologi. Pada masa sama, kerjasama dengan industri dari Republik Indonesia dalam bidang sistem persenjataan membuka ruang kepada Malaysia membina keupayaan integrasi, pembaikan dan sokongan teknikal secara lebih tersusun.
Antara contoh inovasi tempatan yang menonjol ialah TEDUNG, sistem perisikan elektronik atau ELINT yang dibangunkan oleh Mindmatics Sdn Bhd. Sistem ini dikaitkan dengan keupayaan mengesan dan menganalisis gelombang radar dalam julat frekuensi tertentu, sekali gus menyokong kesedaran situasi tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem import.
Selain itu, pembangunan loitering munition atau dron Kamikaze oleh Tinjau Mahir Sdn Bhd menunjukkan arah baharu teknologi tempur kos rendah. Sistem seperti ini mampu berlegar sebelum sasaran disahkan, sekali gus memberi pilihan taktikal tambahan kepada pasukan di lapangan. Dalam doktrin moden, aset tanpa pemandu semakin penting kerana dapat meminimumkan kadar risiko nyawa anggota.
Pembangunan simulator penerbangan FA-50M oleh Ikramatic Systems Sdn Bhd pula memperlihatkan satu lagi sisi penting industri pertahanan, iaitu latihan. Melalui Program Kolaborasi Industri bersama Korea Aerospace Industries (KAI), pembangunan simulator dijangka membolehkan latihan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disokong dengan kepakaran perisian domestik. Di sinilah nilai sebenar PPN terserlah, ia menghubungkan perolehan aset dengan latihan, perisian, penyelenggaraan dan pemindahan pengetahuann.
Bakat tempatan sebagai syarat kedaulatan

Walau berkualiti dan secanggih mana teknologi yang mahu dibangunkan, dasar industri pertahanan tetap bergantung kepada manusia. Jurutera, pembangun perisian, perancang strategik, dan tenaga teknikal mahir adalah nadi yang menentukan sama ada DIPN kekal sebagai dokumen dasar atau benar-benar menjadi keupayaan negara. dan kreatif. Menyedari hakikat ini, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi menggagaskan sinergi holistik bagi menjadikan institusi pengajian sebagai pembekal utama bakat pertahanan tempatan.
Dalam konteks ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diletkkan dalam kedudukan strategik sebagai penghubung antaran Pendidikan tinggi, penyelidikan pertahanan dan keperluan industri. Peranannya tidak lagi terhad kepada latihan akademik ketenteraan, tetapi turut merangkumi penyediaan bakat untuk bidang siber, sistem autonomi, simulasi dan teknologi medan tempur.
Pada peringkat akar umbi, ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi laluan penting untuk menyediakan tenaga kerja pertahanan. Pendedahan kepada institusi Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), menunjukkan usaha memperkenalkan bidang seperti kimpalan pertahanan dan mekatronik kepada generasi baharu.

Cendana Auto Sdn Bhd pula menjad antara contoh pemain mobiliti tempatan yang menjalin kerjasama dengan institusi pengajian seperti UPNM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Kerjasama seperti ini penting kerana industri pertahanan memerlukan laluan jelas antara bilik kuliah, bengkel latihan, makmal penyelidikan dan keperluan sebenar industri.
Penglibatan berimpak ini bukan sahaja membendung budaya tenaga pakar berpindah keluar (brain drain), tetapi memperkaya tenaga modal insan bagi menampung kehendak operasi industri negara. DIPN tidak wajar dilihat sekadar sebagai senarai projek baharu. Nilai sebenarnya adalah terletak pada kemampuan negara menghubungkan keperluan ATM, kekuatan industri, penyelidikan universiti dan kemahiran TVET dalam satu rantaian yang berfungsi.
Jika pelaksanaannya konsisten, kedaulatan pertahanan Malaysia tidak lagi hanya bergantung kepada aset yang dibeli dari luar, tetapi turut ditentukan oleh teknologi yang direka, sistem yang diselenggara dan bakat yang dibangunkan sendiri oleh anak tempatan dalam negara. -airtimes.my
