Home DiskusiKonflik serantau : Peranan Malaysia sebagai negara pendamai di meja rundingan

Konflik serantau : Peranan Malaysia sebagai negara pendamai di meja rundingan

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Nama Malaysia, khususnya Kuala Lumpur tercatat dalam sejarah dunia apabila menjadi saksi termeterainya deklarasi bersama perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja pada Ahad lepas.

Deklarasi ditandatangani antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang disaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Trump memuji usaha kedua-dua pemimpin dan menyifatkannya sebagai perjanjian damai yang hebat.

Susulan perjanjian tersebut, Kemboja dan Thailand mula mengalihkan senjata berat dan peralatan ketenteraan dari kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.

Proses pengunduran itu dijalankan di bawah pemerhatian Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) yang turut disertai Malaysia.

Penyelesaian konflik sempadan Thailand dan Kemboja di meja rundingan menerusi inisiatif Malaysia menjadi perhatian dunia apabila perseteruan dua negara dapat didamaikan.

Lebih daripada itu, imej Malaysia melonjak apabila membuktikan peranannya sebagai negara pendamai dalam konflik tersebut, sekali gus mengelakkan pertembungan bersenjata berlarutan.

Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya pada Julai lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN ketika ini

Ketegangan di kawasan sempadan bermula dengan pertempuran kecil pada 28 Mei, sebelum mencetuskan konflik bersenjata sepenuhnya pada 24 Julai.

Impak penyelesaian di meja rundingan ini benar-benar meletakkan kedudukan Kuala Lumpur tidak terbatas sebagai Pengerusi ASEAN semata-mata.

Susulan pertemuan bersejarah itu, Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohammad Nizam Jaffar mengadakan lawatan rasmi ke Thailand dan Kemboja sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik serantau.

Mungkin ramai yang terlupa atau tidak tahu bahawa situasi yang berlaku ini sebenarnya seolah-olah mengulangi penglibatan Malaysia semasa misi pengaman di Kemboja kira-kira 32 tahun lalu.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pemain utama, namun penglibatan Malaysia pula relevan sebagai negara penting di ASEAN selain Thailand, Indonesia dan Brunei.

Penyertaan Malaysia dalam misi UNTAC (United Nations Transitional Authority in Cambodia) merupakan salah satu sumbangan penting negara dalam operasi pengaman antarabangsa waktu itu.

Kemboja mengalami konflik berpanjangan sejak era pemerintahan Khmer Rouge pada 1975-1979, yang menyebabkan kematian berjuta rakyat diikuti perang saudara.

Usaha masyarakat antarabangsa menyaksikan Perjanjian Damai Paris ditandatangani pada 1991 lalu membuka jalan kepada penglibatan PBB.

ATM kemudian mengerahkan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) menyertai pasukan tentera pengaman UNTAC PBB di Kemboja.

Penglibatan Malaysia dalam misi UNTAC bersama 40 negara lain ketika itu menunjukkan komitmen negara menerusi ASEAN untuk mengembalikan keamanan di Kemboja yang bergolak.

Misi UNTAC dianggap penting kerana pergolakan Kemboja yang berlaku selepas berakhirnya Perang Vietnam menjadikan wilayah Asia Tenggara terus berdepan dengan ketegangan.

Kaitan langsung dengan Malaysia pula apabila negara menjadi destinasi pelarian Kemboja yang melarikan diri daripada kekejaman Rejim Pol Pot dan semasa perang saudara.

Sebagai besarnya adalah masyarakat Islam Champa.

Apabila damai wujud Kemboja, Malaysia sebagai antara negara pengasas ASEAN turut memainkan peranan penting dalam perkembangan organisasi ini apabila menyokong Kemboja menjadi anggota ASEAN pada 30 April 1999.

Malaysia secara konsisten terus memberikan sokongan kepada Kemboja, terutamanya semasa Kemboja memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2022.

Negara juga menyokong usaha Kemboja sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN untuk Myanmar.

Selepas Kemboja, penglibatan Malaysia dalam misi antarabangsa di rantau ini terus dijayakan selepas itu.

Malaysia terlibat dalam misi pengaman di Timur Timor pada 1999 menerusi INTERFET (International Force East Timor) diketuai oleh Australia, di bawah mandat PBB.

Kini, Timor Leste yang mempunyai penduduk seramai 1.4 juta orang itu menjadi anggota kesebelas ASEAN.

Menerusi INTERFET, negara menghantar pasukan tentera pengaman termasuk tim perubatan, pasukan polis dan pegawai penghubung diplomatik

Malaysia merupakan salah satu penyumbang utama dari Asia Tenggara selepas Australia dan New Zealand.

Negara terus menghantar anggota dalam beberapa misi lanjutan PBB termasuk UNMISET (2002–2005) iaitu misi sokongan kepada kerajaan baharu Timor-Leste dan UNMIT (2006–2012) ketika berlaku ketegangan politik dalaman.

Selepas merdeka, Malaysia antara negara terdekat yang banyak memainkan peranan membantu pembangunan Timor Leste yang bakal menjadi anggota penuh ASEAN Oktober ini.

Satu lagi wilayah bergolak yang menjadi isu penting dalam ASEAN adalah konflik di selatan Filipina sejak dekad 60an.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai di antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober 2011.

Pelan Damai Kerajaan Filipina dengan Barisan Bertindak Islam Moro (MILF) yang dimeterai pada 2014 kemudian mengakhiri sengketa lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

Perjanjian bersejarah yang disifatkan sebagai ‘perjanjian teras’ ini menandakan permulaan era baru bagi penubuhan entiti baru Bangsamoro yang bakal menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao

Malaysia mengetuai Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) bagi memantau penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan MILF sehinggalah pembubarannya pada Jun 2022.

Melihat kembali peranan Malaysia melibatkan Kemboja, Timor Leste dan wilayah selatan Filipina, jelas Kuala Lumpur bukanlah jaguh kampung dalam penyelesaian isu konflik.

Malaysia diakui mempunyai seni kemahiran diplomasi dan sebagai Pengerusi ASEAN, kita telah melepasi ujian apabila berjaya menjadi negara pendamai. -airtimes.my

#Airtimes #konfikserantau #ASEAN #ATM #AOT #UNTAC #Thailand #Kemboja #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply