Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada kompromi anggota terlibat pelanggaran disiplin, tatatertib dan jenayah – MINDEF

Tiada kompromi anggota terlibat pelanggaran disiplin, tatatertib dan jenayah – MINDEF

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tidak ada kompromi terhadap sebarang salah laku yang melibatkan pelanggaran disiplin, tatatertib, jenayah serta isu berkaitan perundangan seperti buli dan lain-lain yang melibatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan, tindakan yang tegas mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada akan diambil terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dan didapati bersalah.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas aduan dakwaan insiden kes buli melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tular di media sosial, semalam.

“Kementerian Pertahanan memandang serius terhadap insiden tersebut serta siasatan terperinci dan telus telah dilaksanakan dengan serta-merta,

“Bagi kes berkenaan, TUDM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aduan tersebut, kini di dalam siasatan pihak PDRM,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pertahanan menegaskan, semua pihak dimohon supaya tidak membuat sebarang spekulasi agar tidak mengganggu kes yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, TUDM sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan yang dipercayai berlaku di sebuah pusat latihan TUDM di Kuantan, Pahang.

“Siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa kepada pihak polis,

“Kita tidak menerima aduan dalaman berhubung kejadian itu sebaliknya aduan dibuat kepada polis,

“Pegawai penyiasat polis sudah masuk ke kawasan pusat latihan TUDM dan menjalankan pemeriksaan. Siasatan masih lagi berjalan,

“Bagaimanapun, kita memberikan kerjasama penuh kepada polis dan TUDM juga sedang menjalankan siasatan dalaman untuk memastikan kes disiasat dengan teliti,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Semalam, tular di Twitter seorang wanita yang mendakwa adik lelakinya dibuli di pusat latihan tersebut.

Dalam perkongsian berkenaan wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan beliau trauma dan ketakutan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply