SEMPORNA, 11 JUN– Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi membubarkan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) selepas hampir sedekad pangkalan itu beroperasi sebagai benteng hadapan keselamatan maritim di Sabah Timur.
Markas Wilayah Laut 2 dalam kenyataan memaklumkan, majlis pembubaran PL TSR disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Idris.
Menurut kenyataan itu, PL TSR mula beroperasi pada 31 Julai 2015 sebelum dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam pada 28 Mei 2016.
Pangkalan berkenaan pada asalnya ialah sebuah Platform Mobile Offshore Production Unit dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973.
Platform itu kemudian ditransformasikan sebagai pangkalan laut hadapan melalui usaha sama strategik antara TLDM, PETRONAS dan Sapura Kencana bagi memenuhi keperluan kehadiran berterusan TLDM di kawasan berkepentingan tinggi di perairan Sabah Timur.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, PL TSR digunakan sebagai platform strategik bagi menyokong operasi keselamatan maritim, pemantauan zon berkepentingan maritim serta memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE),” menurut kenyataan.
Markas Wilayah Laut 2 memaklumkan, kedudukan PL TSR yang strategik membolehkan tindak balas lebih pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan di kawasan berkenaan, sekali gus sebagai simbol komitmen berterusan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Walaupun operasi PL TSR ditamatkan, fungsi pangkalan hadapan itu akan diambil alih oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi TLDM di kawasan strategik Sabah Timur.
PL TSR dinamakan bersempena nama isteri Perdana Menteri Malaysia pertama, Allahyarhamah Tun Dato’ Seri Hajah Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah. -airtimes.my
