Dalam era digital yang serba canggih, keselamatan siber menjadi keutamaan bagi individu dan organisasi bagi melindungi data peribadi serta maklumat sensitif daripada ancaman siber. Dengan peningkatan serangan siber seperti penggodaman, ransomware, dan phishing, pematuhan kepada garis panduan keselamatan siber adalah langkah kritikal untuk memastikan keselamatan dalam talian.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara rasmi memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG).
Garis panduan ini bertujuan memperkukuh amalan keselamatan dalam kalangan pemain industri komunikasi dan multimedia, dengan menekankan kepentingan perlindungan infrastruktur digital negara. Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menangani cabaran siber yang semakin kompleks.
Dalam konteks keselamatan siber, penggunaan kata laluan yang kukuh adalah benteng pertama melawan penggodam. Kata laluan harus mengandungi gabungan huruf besar, huruf kecil, angka, dan simbol. Elakkan maklumat mudah diteka seperti tarikh lahir atau nama sendiri.
Pengurusan kata laluan juga dapat membantu menyimpan dan menghasilkan kata laluan unik bagi setiap akaun. Selain itu, pengesahan dua faktor (2FA) perlu diaktifkan untuk menambah lapisan perlindungan. Kaedah ini meminta kod tambahan selain kata laluan, sekali gus menghalang akses tidak sah walaupun kata laluan bocor.
Setiap perisian, aplikasi, dan sistem operasi perlu dikemas kini secara berkala, kerana kemas kini ini biasanya mengandungi ‘patch’ keselamatan untuk melindungi daripada kelemahan yang diketahui. Pengguna juga harus berhati-hati terhadap e-mel dan pautan mencurigakan, kerana serangan phishing sering dilakukan melalui e-mel palsu yang kelihatan sah. Sebelum klik pada pautan atau memuat turun lampiran, pastikan alamat e-mel pengirim adalah sahih.
Penggunaan sambungan internet yang selamat juga amat penting. Elakkan menggunakan WiFi awam tanpa perlindungan, terutama untuk transaksi kewangan. Sekiranya perlu, gunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk memastikan data anda selamat dari ancaman siber. Pada masa yang sama, memasang ‘antivirus’ dan ‘firewall’ pada peranti untuk mengesan dan menghalang perisian berniat jahat. Aktifkan juga ciri keselamatan seperti kunci skrin dan pengesahan biometrik untuk perlindungan tambahan.
Kesedaran dan pendidikan turut menjadi elemen penting dalam keselamatan siber. SKMM melalui INSG turut menyeru pemain industri agar mendidik pengguna tentang risiko siber dan langkah-langkah pencegahan. Dengan kesedaran yang tinggi, ancaman seperti pencurian data dan serangan ransomware dapat diminimumkan.
Dengan pematuhan terhadap garis panduan INSG dan langkah-langkah keselamatan asas, Malaysia dapat memperkukuh keupayaan siber negara, sekaligus melindungi data dan privasi warganya daripada ancaman jenayah siber. -airtimes.my
#airtimes #keselamatansiber #SKMM #INSG #cybersecurity