Home Semasa Waspada terima panggilan dari Mohd Azim Abdul Aziz – SKMM

Waspada terima panggilan dari Mohd Azim Abdul Aziz – SKMM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai suruhanjaya itu dan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.

SKMM berkata, peringatan tersebut dibuat susulan seorang pengadu telah dihubungi individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan.

“Justeru, pengadu terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

SKMM mengesahkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangannya dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak suruhanjaya itu.

“Pada masa yang sama, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan SKMM lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial suruhanjaya,

“Pengumuman atau pemakluman bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian,” ujarnya.

Sehubungan itu, SKMM menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian dari pihak tidak dikenali.

“Orang ramai perlu segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply