Home Semasa Cetus provokasi, pemandu Myvi putih ditahan

Cetus provokasi, pemandu Myvi putih ditahan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan pemandu kereta Myvi putih yang memandu secara merbahaya dan membuat provokasi terhadap pemandu lain seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Polis Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Selangor pada Isnin lalu.

“Pemandu kereta jenis Perodua Myvi putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu itu telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 9 Mei 2022,

“Suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sarifudin menjelaskan, JSPT telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu.

Katanya, mangsa atau pemilik video papan pemuka yang tular serta saksi kejadian diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Inspektor Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelas kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta Perodua Myvi terbabit yang memandu secara berbahaya dan menghayunkan sebatang kayu ke arahnya.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu di Jalan Lingkaran tengah 2 (MMR2) berhampiran Taman Layang-Layang, namun secara tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran PGT 124 yang berada di hadapan bertindak membrek sedikit-sedikit sehingga hampir menyebabkan kemalangan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply