Home Semasa SKMM, PDRM pantau dan siasat aplikasi Sugarbook

SKMM, PDRM pantau dan siasat aplikasi Sugarbook

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau serta menyiasat mengenai aplikasi Sugarbook yang didakwa semakin ramai wanita di Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai ‘sugar baby’ di laman web tersebut.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, mereka akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.

“Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM,

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan,” katanya.

Menurut SKMM, dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa.

Selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan temu janji atau percintaan dalam talian.

“Pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri,

“Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” ujarnya.

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan pengguna aplikasi internet agar sentiasa berhati-hati memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutamanya untuk berhubung dengan orang-orang yang tidak dikenali contohnya di laman pencarian teman.

“Internet dan aplikasi Internet membuka ruang kepada komunikasi yang lebih luas dan terbuka termasuklah aktiviti-aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan dengan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam talian,

“Kes sedemikian disiasat oleh PDRM di bawah Kanun Keseksaan,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply