KUALA LUMPUR, 22 Apr – Orang ramai yang terkandas dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis berhampiran bermula 25 April ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata permohonan itu juga boleh dibuat melalui aplikasi dalam talian GerakMalaysia yang dibangunkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui SKMM.
Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran untuk membenarkan mereka pulang masih di peringkat kajian dengan nasihat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Untuk peringkat awal, kita meminta supaya mereka melaporkan kepada polis sekiranya mereka yang berkeinginan untuk pulang ke kediaman masing-masing,
“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, iaitu melalui aplikasi GerakMalaysia yang mana ini kolaborasi antara polis dan KKMM mulai 25 April nanti,
“Bagi mereka yang tiada mempunyai kemudahan telefon pintar dan internet, permohonan boleh dibuat di balai polis berdekatan namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” kata Ismail Sabri semasa sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

