Home Semasa Jabatan Peguam Negara, PDRM dan SKMM berikrar halang penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus: Tommy

Jabatan Peguam Negara, PDRM dan SKMM berikrar halang penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus: Tommy

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi kerajaan yang lain bertekad untuk menghalang penyebaran berita palsu berkaitan wabak koronavirus (2019-nCoV).

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataan hari ini berkata mana-mana individu yang terlibat menyebarkan berita palsu wabak 2019-nCoV di Malaysia akan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyentuh kenyataan-kenyataan berhubung khianat awam.

“Elemen-elemen utama di bawah peruntukan ini sememangnya sebahagian daripada undang-undang jenayah yang telah lama ada dalam negara ini,

“Membuat atau menyebarkan apa-apa kenyataan atau khabar angin yang mungkin menyebabkan ketakutan serta mengakibatkan mana-mana orang terdorong untuk melakukan kesalahan bertentangan dengan ketenteraman awam,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak polis dan SKMM sedang berkerjasama erat dengan pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara untuk membuat pendakwaan terhadap mana-mana individu terbabit dalam masa terdekat.

Tommy dalam masa yang sama menegaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hendaklah diberi ruang untuk menangani masalah ini dengan teliti, tanpa perlu berdepan dengan isu-isu luaran yang tidak berkaitan.

Sehingga hari ini, PDRM mengesahkan sebanyak 13 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan wabak 2019-nCoV menerusi laman media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, tiga kes sudah mendapat arahan pendakwaan di mahkamah oleh Jabatan Peguam Negara.

 

Related Articles

Leave a Reply