KUALA LUMPUR, 10 Okt – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak pernah membelakangkan pandangan dan ulasan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Kapal Tempur Persisir (Littoral Combat Ship, LCS).
Menurut MINDEF, pihaknya sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan AGC khususnya dalam proses memuktamadkan draf Perjanjian Tambahan (Supplementary Agreement, SA) ke-6 yang dimeterai oleh pihaknya bersama Boustead Naval Shipyard (BNSSB).
Jelas MNDEF, pihaknya termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dan AGC telah melaksanakan beberapa siri perbincangan serta mesyuarat berkaitan draf SA6 sejak April 2023.
“Ia dilakukan selepas keputusan halatuju projek diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 19 April 2023. Hasil daripada kesemua libat urus ini, MINDEF telah menerima ulasan AGC melalui surat bertarikh 24 Mei 2023 di mana 4 perkara utama telah dibangkitkan,
“Antara yang dibangkitkan ialah, Progress Payment Plan; Integrated Logistic Support (ILS); Detailed Design dan Liquidated Ascertained Damages (LAD), bersama-sama cadangan pindaan yang lain,
“MINDEF telah mengambil kira kesemua perkara ini dan pindaan berkaitan telah dibuat sewajarnya,” jelas pihak MINDEF dalam satu kenyataan pada hari ini.
Justeru itu, MINDEF menegaskan, SA6 ini telah ditandatangani setelah mengambil kira ulasan AGC dan juga pandangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terdahulu serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan.
Semalam, Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi mendedahkan, SA6 yang dimeterai oleh MINDEF dan BNSSB tidak mendapat persetujuan daripada pihak AGC.
Jelasnya, perjanjian yang dimeterai pada 26 Mei lalu tidak mendapat persetujuan AGC kerana pihaknya telah memaklumkan kepada MINDEF bahawa ada tindakan lanjut bagi SA6.
“Sepatutnya ia dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ditandatangani,” katanya semasa membentangkan rumusan Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua –LCS di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menafikan dakwaan kementerian itu telah menandatangani SA6 yang ditandatangani bersama BNSSB pada Mei tanpa kelulusan AGC.
“Laporan itu mengatakan bahawa kami tidak mengambil kira pandangan AGC. Itu salah sama sekali kerana dalam proses dan rundingan ada wakil Peguam Negara. Dasar-dasar AGC pun kita telah guna pakai,
“Tetapi (mengenai) mendapat (kelulusan) hitam putih daripada AGC sebelum menandatangani perjanjian tambahan keenam, saya fikir itu adalah terlepas pandang di pihak kami,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.
PAC dalam laporannya semalam berkata bahawa MINDEF dimaklumkan ia perlu mengambil tindakan selanjutnya dan menyerahkan perjanjian tambahan keenam kepada AGC untuk kelulusan sebelum ia ditandatangani.
Perjanjian tambahan ke-6 telah dimeterai oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan BNSSB pada 26 Mei lalu semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Ia dibuat selepas kerajaan pada Januari memutuskan bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal ini.
Melalui perjanjian ini, MINDEF, TLDM dan BNSSB akan memberikan fokus sepenuhnya dalam memastikan projek LCS berjaya disempurnakan. -airtimes.my