Home Semasa Kerajaan bersetuju mansuhkan hukuman mati mandatori – Wan Junaidi

Kerajaan bersetuju mansuhkan hukuman mati mandatori – Wan Junaidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kerajaan hari ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

“Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut,

“Jemaah Menteri bersetuju penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah,

“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian atau jabatan berkepentingan,

“Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip proportionality dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman (pre-sentencing procedure), penubuhan Majlis Penghukuman (Sentencing Council), pembangunan Garis Panduan Penghukuman (Sentencing Guideline), penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Commission), pembaharuan institusi kepenjaraan (PrisonReform) dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

“Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik,

“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian ini yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply