Home Semasa Bon Odori: Umat Islam jangan sertai festival berunsur agama lain – Dewan Ulamak PAS Pusat

Bon Odori: Umat Islam jangan sertai festival berunsur agama lain – Dewan Ulamak PAS Pusat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa umat Islam agar tidak menyertai festival Bon Odori yang diadakan di negara ini kerana mempunyai unsur-unsur keagamaan yang terdapat dalam festival berkenaan.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, walaupun terdapat pihak yang berpandangan festikal berkenaan hanyalah acara kebudayaan Jepun, namun tidak sesekali mengetepikan pandangan bahawa ia tetap mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

“Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),

“Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahan awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah,” katanya dalam hantaran Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat, hari ini.

Ahmad juga berkata, pandangan acara itu hanyalah bersifat kebudayaan semata-mata ‘tidak cukup merit’.

Semalam, Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun itu yang akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Baginda juga berpendirian, berpandangan bahawa Festival Bon Odori yang telah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Festival Bon Odori kerana ianya didakda perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

Jelasnya, perayaan yang akan diadakan pada Sabtu lalu di Kompleks Sukan Negara Shah Alam itu disahkan mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Dewan Ulamak PAS turut mencadangkan agar kerajaan Kelantan tidak memasukkan tarian Bon Odori sebagai acara dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang telah diadakan pada Mei lalu.

“Dewan Ulamak PAS Pusat turut menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasaan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan,

“Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain,” jelasnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply