Home Semasa Hina Nabi: YADIM bersama 140 NGO serah memorandum bantahan kepada Kedutaan India

Hina Nabi: YADIM bersama 140 NGO serah memorandum bantahan kepada Kedutaan India

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) telah menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang berhubung isu penghinaan kepada Islam serta Nabi Muhammad baru baru ini.

Pengerusi MAIM, Ustaz Muhammad Najhan Shahir Halim berkata, memorandum itu dihantar untuk memohon kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk mengenakan tindakan tegas melucutkan jawatan dalam parti atau kerajaan terhadap 2 pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

“Kami kesal dan dukacita terhadap kenyataan pemimpin BJP India, Nupur Sharma yang membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan juga Naveen Jindal atas komennya di media sossial terhadap Nabi Muhammad,

“Antara kandungan memorandum ialah kami mendesak agar kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan berkenaan samada melucutkan jawatan dalam parti mahupun kerajaan sekiranya ada,”ujarnya dalam hantaran di media sosial YADIM, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Najhan mewakili 140 NGO menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India.

Namun, ujarnya, memorandum itu tidak dapat disampaikan terus kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia sebaliknya diminta meletakkannya dihadapan pintu kedutaan sahaja.

Memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang berhubung isu penghinaan kepada Islam serta Nabi Muhammad.

Antara NGO yang turut terlibat adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) serta Gerakan Pembela Ummah.

Mereka turut mendesak agar pihak kerajaan India khasnya Parti BJP memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang.

Tambah Muhammad Najhan, pihaknya juga menyokong usaha dan tindakan tegas kerajaan Malaysia yang memanggil Kedutaan India serta menyatakan bantahan rasmi terhadap kerajaan India.

Mengulas lanjut, kebiadapan pemimpin India baru baru ini telah menimbulkan gelombang kemarahan masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sebelum ini, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh 2 ahli politik India tersebut dan telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia bagi menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply