MANILA, 20 OGOS – Insiden pelanggaran kapal pasukan pengawal pantai China dan Filipina yang berlaku baru-baru ini telah mencetuskan ketegangan diplomatik di antara kedua-dua negara.
Terbaharu, Beijing mendakwa kapal Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG) telah melakukan manuver berbahaya dan tidak mempedulikan amaran dikeluarkan oleh kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG).
Menurutnya, kapal PCG telah sengaja melanggar kapal CCG di kawasan perairan Beting Sabina.
“Dua kapal PCG telah memasuki perairan kawasan beting dan enggan mematuhi amaran yang dikeluarkan oleh pasukan pengawal pantai (CCG),
“Kapal PCG kemudiannya sengaja melanggar kapal CCG pada sekitar 3.24 pagi (waktu tempatan),” kata jurucakap CCG di laman web rasmi mereka.
Jurucakap CCG, Gan Yu menegaskan pihak Filipina sepatutnya bertanggungjawab dalam insiden terbaharu itu.
“Kami memberi amaran kepada Filipina untuk berhenti menceroboh dan melakukan provokasi,
“Sekiranya mereka enggan mematuhi amaran tersebut, mereka akan menanggung akibat dari tindakan mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, Gan Yu menegaskan China mempunyai hak kedaulatan mutlak ke atas kawasan Kepulauan Spratly. Kawasan kepulauan tersebut turut dikenali sebagai Nansha Qundao dalam bahasa Mandarin.
China dan Filipina sebelum ini berhadapan dengan konfrontasi diplomatik berikutan beberapa siri pertembungan di kawasan perairan Laut China Selatan (Laut Filipina Barat, dalam takrifan Manila).
Ini terutamanya melibatkan pertembungan di BRP SIERRA MADRE yang didakwa oleh China sebagai pendudukan yang tidak sah oleh Filipina.
Keadaan menjadi reda apabila kedua-dua negara telah bersepakat untuk tidak memburukkan lagi konfrontasi.
Namun begitu, insiden ini dijangka akan sekali lagi mencabar perjanjian di antara kedua-dua pihak. – airtimes.my
#AirTimes #Filipina #China #Global #LautChinaSelatan